Resipi ibu rahsia Ronaldo kekal cergas di usia 40 tahun

Resipi ibu rahsia Ronaldo kekal cergas di usia 40 tahun

London: Sensasi bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo sudah pasti mempunyai rahsia dapat kekal cergas serta sihat pada usia 40 tahun.

Ronaldo yang genap 40 tahun bulan lalu dan masih menjadi pemain utama bersama Al-Nassr dalam Liga Pro Saudi, menyasarkan untuk beraksi di Piala Dunia 2026 bersama Portugal, ketika usianya mencecah 42 tahun.

Sepanjang kariernya, dia dikenali kerana menjaga fizikal yang mengagumkan, sering mempamerkan otot perutnya dan tidak segan menanggalkan baju, sama ada selepas menjaringkan gol atau di media sosial.

Musim ini, penyerang itu sudah beraksi sebanyak 33 kali untuk Al-Nassr, menjaringkan 28 gol dalam semua pertandingan, serta mengetuai carta penjaring liga.

Ia susulan kejayaan bertahun-tahun bersama kelab gergasi seperti Manchester United, Juventus dan Real Madrid, yang kini diteruskannya di Arab Saudi.

Namun, ada satu hidangan luar biasa yang dikatakan menjadi rahsia di sebalik kecergasannya.

Ronaldo diketahui mengamalkan pemakanan ringkas untuk mengekalkan fizikalnya, tetapi Bacalhau a Bras, sejenis hidangan tradisional Portugal, adalah makanan kegemarannya yang sering dinikmati.

Hidangan ini terdiri daripada ikan masin, bawang, kentang dan telur. Ia mudah disediakan, dan dia mula menikmatinya menerusi resipi ibunya.

Malah, restoran milik Ronaldo di Lisbon turut menyajikan hidangan ini kepada pelanggan menggunakan resipi ibunya. Ronaldo sendiri berkata bahawa ia mengingatkannya kepada zaman kanak-kanak dan membantunya kekal kuat.

Ronaldo juga berpegang kepada diet tinggi protein, mengurangkan pengambilan gula dan alkohol, serta lebih gemar minum air.

Ternyata, amalan itu membuahkan hasil dalam kariernya yang cemerlang, di mana dia sudah memenangi 33 trofi utama termasuk lima gelaran Ballon d’Or dan lima kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top