Repsol tidak lagi bersama Honda

Repsol tidak lagi bersama Honda

Tokyo: Syarikat minyak Sepanyol, Repsol, tidak akan lagi menjadi penaja pasukan MotoGP Honda mulai musim depan, kata pengeluar motosikal Jepun itu, menandakan penutup kepada kerjasama ikonik yang berlangsung selama tiga dekad.

Repsol mula menaja Honda apabila mereka memasuki perlumbaan Grand Prix pada tahun 1995 dan sejak itu mencapai kejayaan besar dengan beberapa gelaran pengeluar dan kejuaraan pelumba seperti legenda Mick Doohan, Valentino Rossi, dan Marc Marquez.

Dengan Repsol sebagai penaja utama, Honda meraih 15 gelaran dunia kelas utama, 10 gelaran pasukan kelas utama, 183 kemenangan kelas utama, dan 455 podium kelas utama.

“Selepas 30 tahun kerjasama di tahap tertinggi perlumbaan motosikal, Honda Racing Corporation (HRC) dan Repsol akan berpisah pada akhir kejuaraan dunia MotoGP 2024,” kata Honda dalam satu kenyataan.

“Honda HRC dan Repsol menikmati kerjasama yang menjadi sinonim dengan kejayaan di tahap tertinggi.

“Lebih daripada sekadar penajaan, ia adalah satu kerjasama sebenar antara kedua-dua syarikat, berusaha untuk terus menjadi rujukan dalam perlumbaan motosikal Grand Prix.”

Honda mengalami kesukaran selepas Marquez memenangi gelaran MotoGP keenamnya pada tahun 2019, dengan pelumba Sepanyol itu tidak menyertai musim 2020 selepas kemalangan dalam perlumbaan pembukaan.

Pasukan itu segera ketinggalan di belakang pengeluar Itali Ducati dan Aprilia, dengan Marquez juga meninggalkan pasukan pada akhir musim 2023 apabila dia berpindah ke Gresini Racing – yang menggunakan motosikal Ducati.

Pemergian Marquez juga menyaksikan Red Bull memutuskan hubungan dengan Honda, yang tidak mencapai keputusan 10 terbaik dalam MotoGP musim ini daripada mana-mana pelumba mereka, Joan Mir atau Luca Marini.

© New Straits Times Press (M) Bhd