am@hmetro.com.my
Sepang: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu berjaya ditemui selamat di sebuah masjid di Ampang Jaya, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Shan Gopal Krishnan berkata, remaja terbabit ditemui polis di sebuah masjid pada jam 3.05 pagi ini dan kemudian diserahkan kepada keluarganya.
“Aduan kehilangan remaja itu diterima daripada ibu mangsa pada Jumaat lalu selepas dia yang keluar rumah pada petang Khamis lalu tidak kembali ke rumah seperti biasa.
“Bagaimanapun, mangsa ditemui selamat di sebuah masjid di Ampang Jaya, awal pagi ini dan siasatan awal mendapati tiada sebarang kegiatan jenayah dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, ibu kepada remaja terbabit membuat laporan polis selepas anaknya yang meninggalkan rumah keluarga mereka di Taman Bandar Bukit Puchong, Putra Perdana, Sepang, pada petang Khamis lalu, tidak kembali ke rumah seperti biasa.
Polis kemudian mengklasifikasikan kes ini sebagai kes orang hilang.
Shan Gopal berkata, penemuan pelajar tingkatan dua itu hasil kerjasama orang awam yang berkongsi maklumat selepas kes remaja itu hilang diuar-uarkan.
“Kerjasama dan sokongan daripada komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan kes ini diselesaikan dengan cepat dan selamat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd