Remaja perempuan 14 tahun menyamar pegawai perubatan, guna kad pengenalan palsu!

Remaja perempuan 14 tahun menyamar pegawai perubatan, guna kad pengenalan palsu!

Seorang remaja perempuan 14 tahun menyamar sebagai pegawai perubatan Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang dengan menggunakan kad pengenalan palsu.

Remaja perempuan 14 tahun menyamar

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kakitangan hospital menyedari ‘kehadiran’ remaja berusia dalam lingkungan 14 tahun dalam sebuah dewan bedah.

Ujar beliau, remaja terbabit mendakwa dirinya sebagai pegawai perubatan yang ingin membantu pembedahan.

“Pihak hospital mengenal pasti kehadiran perempuan berkenaan pada pukul 8.30 pagi tadi iaitu individu sama cuba mendaftarkan diri di kaunter dengan menggunakan identiti palsu.
“Pihak hospital terus menghubungi pihak polis dan tangkapan dilakukan pada pukul 9 pagi tadi di lobi hospital tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tangkapan dibuat di lobi hospital tersebut dan polis merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan ‘lanyard’ hak milik hospital berkenaan.

Wan Kamarul Azran turut menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan mengelak daripada menyebarkan maklumat palsu mengenai kes tersebut.

Kes di siasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.

“Jika disabit dengan kesalahan menceroboh suspek boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan jika disabit kesalahan menyamar penjawat awam, suspek boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel lain:  Pendakwah kecewa penghafaz al-Quran pakai rantai besi – “Haram tetap haram..”

Terkini, ibu bapa kepada remaja perempuan berkenaan telah dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis, malam ini.

Remaja berkenaan juga akan di bawa ke Mahkamah Sepang pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil serius berita atas talian mengenai remaja menyamar sebagai staf hospital di Serdang.

Nasib tak hilang anak dalam wad?

Dalam pada itu, turut tular dakwaan seorang individu yang menyatakan remaja berkenaan dilihat ‘gelabah’ apabila disoal mengenai pesakit.

Dakwanya lagi, remaja berkenaan juga menyamar sebagai ‘Pegawai Houseman (HO)’ dalam kalangan rakan-rakan HO sendiri.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak dapat dikenalpasti sahih atau rekaan. Apa pun, kita nantikan sahaja maklumat selanjutnya daripada pihak polis dan KKM.

Sumber: Sinar Harian (Nurul Huda Husain), X min1ee_mino

Scroll to Top