Remaja maut, rakan parah dirempuh lori

Remaja maut, rakan parah dirempuh lori

PASIR GUDANG – Seorang remaja maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki bergesel dengan motosikal lain di Kilometer 14.6 Lebuhraya Pasir Gudang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian pada pukul 3.45 petang, remaja berkenaan menunggang motosikal bersama-sama pembonceng datang dari arah Kulai menghala ke Pasir Gudang.

“Sampai di tempat kejadian remaja berkenaan,  mangsa yang menunggang di antara lorong kanan dan lorong tengah telah bergesel dengan motosikal lain yang berada di hadapannya.

“Motosikal jenis Yamaha 135LC yang dinaiki kedua-dua remaja berusia 17 tahun yang masih bersekolah itu kemudian hilang kawalan dan mengakibatkan terjatuh di lorong tengah.

“Kemudian sebuah lori dengan jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti yang berada di lorong tengah telah melanggar kedua-dua remaja berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, akibat pelanggaran tersebut, remaja yang menunggang motosikal tersebut cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakannya pula kata Mohd Sohaimi, cedera parah di bahagian kaki dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk menerima rawatan.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

“Pihak polis sedang mengesan saksi bebas kemalangan ini untuk tampil memberi keterangan. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nitheish 011-21633214 untuk membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette