am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta sebelum terbakar di Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan jam 10.55 malam itu, mangsa, Muhammad Adam Abdullah, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Perodua Viva iaitu seorang lelaki berusia 30-an memandu dari arah Pasir Pekan menghala ke Kota Bharu.
Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu dipercayai sedang bergerak lurus di laluannya.
“Secara tiba-tiba sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Pekan di laluan bertentangan cuba memotong kenderaan jenis tidak pasti namun gagal memasuki semula ke laluannya dan terlanggar kereta pada bahagian hadapan.
“Motosikal mangsa terbakar dan akibat perlanggaran itu, penunggang meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu kereta mengalami kecederaan di tangan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta orang ramai yang melihat kemalangan tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syarafuddin Ramlee di talian 09-7752315.
“Polis juga menggesa orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalu-lintas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd