Remaja hilang, mayat reput ditemukan di Banting dipercayai dibunuh

Remaja hilang, mayat reput ditemukan di Banting dipercayai dibunuh

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Penemuan mayat reput di sebuah sungai di Banting, dekat sini, semalam dipercayai mangsa pembunuhan dan ada kaitan dengan kes kehilangan remaja perempuan berusia 15 tahun di Kajang pada 19 Disember lalu.

Polis percaya ia berkait dengan kes laporan kehilangan Yap Xin Yuan, 15, yang diterima di Balai Polis Batu 9, Cheras, pada 2.15 pagi, 20 Disember lalu sebelum usaha mencari mangsa dijalankan.

Menurut sumber, penemuan mayat mangsa yang dibuang di dalam sungai adalah susulan penahanan teman lelakinya dan dua lagi individu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, susulan penemuan mayat itu, polis sudah menahan tiga individu buat masa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Keadaan mayat ditemukan dalam keadaan reput. Buat masa ini, polis masih menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti mangsa.

“Bagaimanapun, kita percaya ia (penemuan mayat) ada kaitan tetapi perlu tunggu keputusan DNA yang dijangka diperoleh sehari dua ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau akan mengeluarkan kenyataan media kelak berhubung kes ini.

Mayat dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat.

Harian Metro sebelum ini melaporkan remaja perempuan itu dilapor hilang apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.

Kali terakhir Yap dilihat di gelanggang bola keranjang itu, berbaju tarian singa berwarna merah.

Remaja ini berketinggian 155 sentimeter (cm), berat 39 kilogram, berambut panjang, dan memakai pendakap gigi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top