am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Remaja lelaki direman lima hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes penyebaran gambar suntingan berunsur lucah membabitkan pelajar dan bekas pelajar sebuah sekolah swasta di Kulai.
Perintah reman berkuat kuasa hari ini dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam selepas dipohon pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun turut direman selama enam hari mulai hari ini bagi siasatan kes sama.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Minggu lalu, Ketua Polis Johor Datuk M Kumar dilaporkan berkata, suspek berusia 16 tahun itu ditahan di Kulai pada 8 April ini.
Penahanan dibuat susulan polis menerima laporan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun mendakwa terdapat gambar lucah yang sudah disunting dengan menggunakan gambar wajahnya tular di media sosial.
Mangsa mendapati gambar lucah itu turut cuba dijual dalam talian dan siasatan awal mendapati suspek memperoleh gambar mangsa daripada akaun media sosial sebelum menyuntingnya menggunakan aplikasi AI.
Setiap keping gambar dipercayai dijual pada harga RM2.
Suspek remaja itu sebelum ini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Kumar turut dilaporkan berkata, pihaknya menerima 29 laporan polis membabitkan kes berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd