Lokasi pembunuhan. Gambar kanan: Gambar hiasan remaja bunuh ayah, nenek. Foto Agensi
JAKARTA – Indonesia digemparkan dengan berita pembunuhan tragis oleh seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ke atas ahli keluarganya pada Sabtu.
Kejadian berlaku di rumah mereka yang terletak di Jalan Lebak Bulus 1, Cilandak, Jakarta Selatan kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan.
Menurut saksi, Tomi, dia melihat suspek dalam keadaan berlumuran darah ketika mahu melarikan diri selepas insiden tersebut.
“Tugas saya adalah sebagai pengawal keselamatan jadi apabila saya melihat suspek cuba melarikan diri dengan menuju ke jalan raya besar, lantas saya mengejar dan menahan dia.
“Kemudian saya terus bawa dia ke pejabat keselamatan, sebelum polis tiba untuk membawanya ke balai,” katanya kepada wartawan pada Sabtu.
Jelasnya, semasa dia menahan remaja itu, suspek tidak melawan malah menyifatkan dia sebagai seorang yang ‘baik’ kerana mengenali suspek sebelum ini.
Sementara itu media melaporkan suspek MAS,14, membunuh ayahnya APW,40, dan nenek RM,69, selain menikam ibunya menggunakan senjata sebilah pisau.
Kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian sementara ibu suspek kini kritikal dan sedang mendapatkan rawatan susulan di hospital.
Dalam pada itu, Polis Metro Jakarta Selatan mengesahkan kejadian itu selain sedang menyelidik kes berkenaan.
“Motif kejadian kita masih belum ketahui kerana semasa kita menyoal suspek dia hanya berdiam dan tidak mahu bercakap,” kata pegawai polis, AKP Nurma Dewi kepada wartawan pada Sabtu. – Agensi