Rekod perubatan elektronik diperluas ke 16 hospital, 300 klinik

Rekod perubatan elektronik diperluas ke 16 hospital, 300 klinik

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan sedang memperluaskan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) ke 16 hospital dan 300 klinik kesihatan, tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu penting dalam merealisasikan visi ‘Satu Rakyat, Satu Rekod’, sekali gus memacu pendigitalan sektor kesihatan negara ke tahap lebih tinggi.

Katanya, pada masa yang sama kementeriannya turut merangka pelan pendigitalan secara berfasa yang merangkumi keseluruhan baki klinik kesihatan dan hospital di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

“Kaedah penyimpanan data bagi sistem EMR ini menggunakan teknologi pengkomputeran awan. Teknologi ini menawarkan penyimpanan data yang menjimatkan kos, kebolehskalaan tinggi (hyperscalability) dan jaminan keselamatan data.

“Selain itu, data disimpan di pusat data yang diiktiraf oleh pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan terletak di Malaysia, memberikan kelebihan daripada segi kedaulatan data.

“Hal ini amat penting untuk memastikan keselamatan, privasi dan integriti data klinikal pesakit terpelihara selaras dengan Dasar Pengkomputeran Awan Sektor Awam dan Akta Perkongsian Data 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) supaya KKM menyatakan status Projek Digitalisasi Kesihatan Negara dan bagaimana kemampuan pangkalan data untuk memastikan projek digitalisasi sektor kesihatan negara ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata, Sistem Maklumat Hospital (HIS) berasaskan awan (cloud base) di fasiliti kesihatan seluruh negara akan siap sepenuhnya pada 2028.

Katanya, pelaksanaan HIS melalui sistem EMR adalah langkah strategik KKM dalam menangani beban pesakit yang terlalu ramai di hospital dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan rawatan.

HIS adalah usaha kerajaan transformasi sistem kesihatan digital dan akan memudahkan perkongsian maklumat antara fasiliti kesihatan yang berbeza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top