Reformasi perkhidmatan awam satu kemestian – KSN

Reformasi perkhidmatan awam satu kemestian – KSN

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan reformasi perkhidmatan awam satu kemestian bagi memastikan pentadbiran negara berada pada tahap lebih tinggi dan dihormati rakyat.

Menurut beliau, agenda reformasi yang dilancarkan pada 10 September lalu membawa lapan nilai penting yang menjadi asas dalam perkhidmatan awam, iaitu mesra, adil, luhur, yakin, setia, amanah, arif dan ihsan.

“Kesemua nilai-nilai itu berkait rapat dengan integriti dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Ketika ucapan Tahun Baharu 2025, saya menekankan kepentingan reformasi berkenaan dengan tanda pagar #ReformasiItuSatuKemestian. Kita mesti berubah dan harus berubah demi membawa perkhidmatan awam ke darjat yang lebih tinggi,” katanya dalam Program Bicara Naratif di RTM bertajuk Reformasi Perkhidmatan Awam dan Kedudukan Dalam CPI, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelaksanaan reformasi dalam perkhidmatan awam yang menekankan penghayatan nilai dan tatakelola yang baik.

Langkah itu juga dilihat selari dengan usaha meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan mengenai Tekad Kuala Lumpur yang diperkenalkan bagi memastikan agenda reformasi tidak hanya tertumpu di peringkat kerajaan persekutuan, tetapi turut membabitkan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

“Kita ada tiga peringkat kerajaan, iaitu persekutuan, negeri dan tempatan. Jadi, kita mahu memastikan reformasi itu disambut di semua peringkat agar rakyat mendapat perkhidmatan terbaik, tanpa birokrasi yang menyulitkan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat sering menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan di peringkat kerajaan negeri dan tempatan, khususnya di majlis perbandaran dan pejabat tanah.

“Oleh itu, pendekatan menyeluruh atau whole of nation approach perlu diterapkan bagi memastikan reformasi ini benar-benar memberi impak menyeluruh.

“Inilah masanya kita melakukan perubahan besar bagi memastikan perkhidmatan awam lebih cekap, berintegriti dan berdaya saing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top