Industri hiburan Indonesia kehilangan seorang legenda selepas penyanyi tersohor, Titiek Puspa, meninggal dunia pada usia 87 tahun sekitar jam 4.25 petang waktu Indonesia Barat hari ini.
Berita duka itu disahkan wakil pengurusannya, Petty Tunjungsari, yang memaklumkan bahawa Titiek rebah secara tiba-tiba ketika menjalani penggambaran program sitkom popular Lapor Pak terbitan stesen televisyen Trans 7.
“Ketika ibu Titiek Puspa sedang menjalani sesi rakaman program Lapor Pak, dia tiba-tiba rebah pada jam 8.30 malam,” kata Petty.
Tambahnya lagi, Titiek sempat menyempurnakan tiga segmen rakaman sebelum dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Namun, penyanyi ikonik itu menghembuskan nafas terakhirnya sekaligus meninggalkan dunia seni dan peminat yang amat menyayanginya.
Sekadar info, Titiek Puspa yang dilahirkan pada 1 November 1937 dikenali sebagai figura penting dalam sejarah muzik Indonesia, dengan deretan lagu malar segar seperti “Marilah Kemari” dan “Kupu-Kupu Malam”, yang sehingga kini masih menjadi siulan generasi pelbagai peringkat umur.
Selain menjadi penyanyi, Titiek juga berperanan sebagai komposer dan pelakon yang cukup berpengaruh, serta sering tampil aktif dalam pelbagai program seni termasuk produksi televisyen.
Pemergian figura seni itu merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada industri muzik, malah kepada seluruh rakyat Indonesia yang membesar dengan karya-karya seninya.
Sumber: Harian Metro