
Martinelli (kiri) meledak gol kemenangan Arsenal pada minit ke-93 di dalam Stadium Santiago Bernebau yang bumbungnya sengaja ditutup. Foto Agensi
SANTIAGO Bernabéu dengan bumbung tertutup, lampu berkilauan dan harapan setinggi langit tapi hasilnya?
Arsenal tetap bawa balik kemenangan bergaya 2-1, lengkap dengan tiket ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).
Tak hairanlah, penyokong Gunners terus ‘berpesta’ di media sosial dan sasaran utama mereka? Keputusan Real Madrid untuk menutup bumbung stadium mereka.
“First time tengok orang tutup bumbung sebab takut hujan gol,” tulis seorang penyokong Arsenal di Twitter, sambil memuat naik gambar Vinícius Júnior termenung.
Seorang lagi dengan selamba berkata: “Mereka cuba kurung Arsenal… sayang, Martinelli ada kunci.”
Real sebelum ini terkenal dengan ‘keangkuhan’ di pentas Eropah, tapi awal pagi Khamis, mereka dilihat seolah-olah ‘menggali kubur sendiri’ dengan menutup bumbung Bernabéu.
Tindakan itu dipercayai untuk menambah tekanan kepada Arsenal dan ia bukan kali pertama juara 15 kali UCL tersebut melakukan tindakan seumpama itu.
Tahun lalu, Real menggunakan helah serupa apabila melayan kunjungan Manchester City kerana mahu mahu mencetuskan suasana gamat yang menggerunkan pihak lawan.
Tetapi ternyata, tindakan itu langsung tidak menggentarkan Bukayo Saka dan rakan sepasukannya.
Lebih pedih, penutupan bumbung itu hanya jadi latar kepada satu malam penuh mimpi ngeri buat tuan rumah – penalti yang dibatalkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR), kesilapan William Saliba yang ditebus oleh Gabriel Martinelli pada minit ke-93 dan akhirnya, disingkir dari kejohanan dengan agregat memalukan 5-1.
“Apa pun alasan Real, Arsenal bukan datang untuk tengok siling. Kami datang, kami menang, dan kami tinggal kenangan,” tulis seorang lagi penyokong The Gunners.
Dengan keputusan ini, Arsenal bukan saja mara ke separuh akhir, malah berjaya ‘pecah bumbung’ keangkuhan Real di laman sendiri dan penyokong Gunners pastinya akan terus mengingatkan mereka tentang malam Bernabéu yang tertutup, tapi terbuka luas untuk kekalahan.