RCI Batu Puteh: Usul selesai dibahas tanpa keputusan

RCI Batu Puteh: Usul selesai dibahas tanpa keputusan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Usul mengenai Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selesai dibahaskan tanpa mempunyai keputusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semasa ucapan penggulungannya menyatakan, beliau mengambil kira semua perbahasan mengenainya.

“Mengambil kira semua yang saya dengar, sebagai Menteri yang bertanggungjawab, mengikut Peraturan Mesyuarat 12 (1) tanpa menghiraukan usul yang terdahulu saya mohon mencadangkan mesyuarat hari ini ditangguhkan.

“Selepas itu majlis mesyuarat ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Azalina semasa ucapannya juga turut menjawab beberapa persoalan khususnya berkait 47 muka surat yang dipadamkan.

Menurutnya, 47 muka surat yang dipadamkan itu antaranya disebabkan risiko keselamatan negara, hubungan diplomatik dan perlindungan privasi.

“Terdapat laporan suruhanjaya diraja ini sekiranya didedahkan kepada umum akan menjejaskan aspek keselamatan negara atau operasinya di mana maklumat tertentu yang dihitamkan dalam laporan ini bersifat sensitif termasuk membabitkan pertahanan, perisikan dan perkara strategik lain.

“Dari segi sensitif diplomatik pula, kawasan pengairan Batu Puteh adalah wilayah yang masih menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.

“Selain itu terdapat kandungan laporan ini mengandungi maklumat sensitif berkaitan rundingan yang sedang berjalan serta butiran perbincangan kedua-dua negara yang boleh menjejaskan hubungan berterusan atau rundingan masa depan,” katanya.

Terdahulu, seramai 10 orang ahli Parlimen daripada kedua-dua blok telah mengambil bahagian dalam membahaskan usul ini.

Antara yang mengambil bahagian adalah R Yuneswaran (PH-Segamat); Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading); Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top