am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon veteran drama bersiri Opah, Razali Buyong, 81, dimasukkan ke pusat perubatan, di sini, kelmarin selepas mengalami serangan angin ahmar dan masalah saraf.
Razali ketika dihubungi berkata, dia juga tidak boleh berjalan tanpa dibantu ahli keluarga akibat masalah saraf di tangan dan kaki kanannya itu.
“Buat masa ini, doktor belum beritahu bila untuk buat pembedahan dan hanya beri ubat untuk merawat angin ahmar itu.
“Selepas merawat angin ahmar, baru doktor nak rawat masalah saraf kerana saya juga tidak boleh berjalan sekarang,” katanya kepada Harian Metro.
Razali berkata, dia juga perlu memakai alat bantuan pernafasan di hidung.
“Saya juga kurang selera makan ketika di wad dan tidak tahu berapa lama lagi akan dirawat di sini.
“Apapun, saya ucapkan terima kasih dengan layanan baik doktor dan jururawat. Selain jururawat, ada anggota keluarga iaitu anak-anak, menantu dan cucu yang bergilir menjaga saya di wad,” katanya.
Pada masa sama, Razali juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menghantar ucapan serta mendoakan dirinya untuk segera sembuh.
“Saya juga boleh menerima pelawat pada waktu melawat ditetapkan. Selain itu, saya juga tidak kisah jika ada pihak yang mahu beri sumbangan dan sebagainya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd