rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemilik akaun TikTok, Rayyan Wong yang ditahan bagi siasatan menghina Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Johor dan Perdana Menteri, dibebaskan dengan jaminan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 22 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Razarudin berkata permohonan reman terhadap lelaki itu ditolak mahkamah susulan pempengaruh itu telah membuat permohonan maaf menerusi akaun TikTok miliknya
“Dia sudah membuat permohonan maaf. Justeru, lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masih diteruskan.
Terdahulu, media melaporkan lelaki dipercayai pemilik akaun TikTok ditahan polis di kediamannya di Johor, kelmarin.
Razarudin dilaporkan berkata, polis merampas telefon pintar jenis Galaxy Z Flip 5 milik suspek.
Beliau berkata, kandungan terbabit bersifat jelik yang dipercayai dengan niat untuk menyakitkan hati, memperlekeh dan menghina institusi Diraja.
Ia juga turut didapati membangkitkan kebencian serta provokasi terhadap institusi Diraja yang berpotensi mengganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara.
Dalam pada itu, pemilik akaun Tiktok terbabit turut membuat permohonan maaf di akaunnya kerana mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Johor serta Perdana Menteri.
“Geng, saya minta maaf pasal kenyataan makan di restoran tiada sijil halal tu rupanya ia ada sijil halal. Sekali lagi saya minta maaf kekhilafan sendiri kerana tidak buat kajian lebih lanjut.
“Saya dah turunkan video itu, yang sekarang sudah cecah dua juta orang tengok (tontonan). Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan tidak sebarkan fitnah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd