Rayuan tebusan Israel dari terowong Hamas

Rayuan tebusan Israel dari terowong Hamas

Bandar Gaza, Wilayah Palestin: Pejuang Hamas menyiarkan sebuah video pada Rabu menunjukkan seorang tebusan Israel-Hungary sedang berjalan melalui sebuah terowong di Gaza dan menyalakan lilin sempena hari lahirnya.

Dalam klip video hampir tiga minit yang diterbitkan oleh Briged Ezzedine Al-Qassam itu, tebusan yang memperkenalkan dirinya sebagai Omri Miran bercakap dalam bahasa Ibrani kepada kamera.

Keluarganya mengesahkan identiti lelaki itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang, sambil memohon agar media tidak menyiarkan rakaman itu.

AFP tidak dapat mengesahkan bila rakaman itu diambil, tetapi dalam video berkenaan, Miran menyatakan dia sedang menyambut ulang tahun ke-48, pada 11 April lalu.

Pada mulanya, dia kelihatan berjalan melalui sebuah terowong, kemudian duduk di atas tilam di ruang sempit, sambil menyampaikan penghargaan kepada penunjuk perasaan di Israel yang berdemonstrasi menentang kerajaan dan menuntut pembebasan tebusan.

Katanya, tebusan hidup dalam ketakutan berterusan terhadap pengeboman dan menggesa satu perjanjian dicapai secepat mungkin untuk menjamin pembebasan mereka.

Dia turut menyatakan kerinduannya terhadap isteri dan dua anak perempuannya.

“Pada malam Hari Peringatan Holocaust, ketika kita berkata ‘tidak akan berulang lagi’, seorang rakyat Israel merayu pertolongan dari terowong Hamas.

“Ini adalah kegagalan moral bagi negara Israel. Omri kami kuat dan tidak akan patah semangat, tetapi hati kami hancur.

“Kami akan terus berjuang sehingga Omri pulang kepada kami, khususnya kepada dua anak perempuannya yang menanti dengan penuh harapan untuk memeluk ayah mereka semula,” kata keluarganya dalam satu kenyataan.

Ketika serangan pada 7 Oktober 2023, Miran ditangkap dari rumahnya di kibbutz Nahal Oz di hadapan isterinya Lichay Miran-Lavi dan dua anak perempuan mereka yang masih kecil.

Dia sebelum ini muncul dalam video tanpa tarikh yang dikeluarkan oleh Hamas pada 27 April 2024.

Dalam rakaman itu, dia menggesa keluarganya untuk menekan kerajaan Israel agar mencapai perjanjian dengan Hamas mengenai pembebasan tebusan.

Selepas melihat video Miran yang berjanggut itu, ayahnya Dani Miran memberitahu AFP, dia turut membiarkan janggutnya tumbuh sebagai tanda solidariti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top