Ratusan Buku Ajaran GISBH Ditanam Dan Dibakar Selepas CEO Ditahan Polis | Oh! Media

Ratusan Buku Ajaran GISBH Ditanam Dan Dibakar Selepas CEO Ditahan Polis | Oh! Media

Puluhan buku berkaitan ajaran GISB Holdings (GISBH) ditemui ditanam di tepi sungai berhampiran kediaman pengikut kumpulan tersebut di Kampung Panji, Kelantan.

Difahamkan, buku-buku itu dipercayai ditanam selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH ditahan oleh pihak polis kelmarin.

Malah, sebahagian buku dilaporkan sudah dibakar, dengan lokasi masih berbau asap, manakala buku-buku yang lebih tebal ditanam bagi mengelak dikesan.

Operasi yang dikenali sebagai Op Global, bermula sekitar jam 7 pagi, turut melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK).

Wartawan yang mengikuti operasi tersebut melaporkan bahawa terdapat lebih 30 penghuni, termasuk 20 kanak-kanak, di tiga buah rumah yang diserbu. Kebanyakan penghuni terdiri daripada ahli keluarga CEO GISBH, termasuk isteri, menantu, dan cucu-cucunya.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa pemimpin kanan GISBH, termasuk CEO dan isterinya, ditahan oleh pihak berkuasa dalam Op Global.

Tindakan itu diambil susulan laporan berkaitan dakwaan penderaan, pengabaian, dan salah laku seksual di rumah amal yang dikendalikan oleh syarikat tersebut.


Scroll to Top