Ratu perut besar umum pencen

Ratu perut besar umum pencen

Tokyo: Seorang pempengaruh makanan terkenal dari Jepun, Yuka Kinoshita mengumumkan bersara daripada dunia makan kompetitif kerana faktor kesihatan dan umur.

Pengumuman itu dibuatnya secara dalam talian pada awal bulan ini, beberapa bulan selepas kembali ke media sosial daripada berehat selama tujuh bulan.

Portal South China Morning Post melaporkan, Yuka menghabiskan masa di rumah akibat menderita gangguan bipolar.

“Saya akan berusia 40 tahun pada 4 Februari dan sangat sukar bagi saya untuk terus bekerja sebagai pempengaruh makanan.

“Saya keletihan. Kesihatan saya semakin merosot dari tahun ke tahun. Tidak ada masalah untuk makan seperti orang biasa, tetapi saya akan penat walaupun saya tidak kenyang.

“Jadi, saya takut saya tidak dapat makan sebanyak dulu,” kata Yuka di platform media sosial utamanya yang mempunyai 5.2 juta pengikut.

Kerjaya wanita itu sebagai ‘ratu perut besar’ bermula pada 2009 dalam rancangan realiti Jepun, The Battle of Big Eaters. Dia tidak memenangi pertandingan tetapi menarik perhatian kerana perbezaan ketara tubuh badannya yang ramping serta senyuman manis dengan jumlah makanan yang dimakan.

Yuka memulakan saluran dalam talian sendiri pada 2014, berkongsi video dia makan banyak, dengan pencapaian terbaiknya termasuk menghabiskan 600 ayam goreng, 100 burger dan masing-masing lima kilogram (kg) stik dan ramen dalam satu hidangan.

Menerusi satu video, dia memaksa dirinya makan bibimbap yang dicampur dengan 50 telur, selain 6kg sup miso.

Yuka berketinggian 158 sentimeter, berjaya mengekalkan berat badan 47kg untuk tempoh lama, walaupun dianggar mengambil antara 5,000 hingga 20,000 kalori dalam satu hidangan.

Dia berhenti memuat naik kandungan dalam talian pada awal tahun lalu dan muncul semula pada Ogos, mengatakan sedang menjalani pemulihan secara perlahan daripada penyakit mental.

“Saya tidak berminat untuk bercinta dan saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin. Dengan tiga kucing, saya cukup bahagia.

“Untuk tahun baharu ini, saya berharap dapat hidup lama seperti ular,” kata Yuka.

Keputusan persaraannya mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, dengan rata-ratanya menyokongnya agar mengutamakan kesihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top