Rashford jadi kesayangan Aston Villa

Rashford jadi kesayangan Aston Villa

Birmingham: Bos Aston Villa, Unai Emery memuji pemain baru mereka Marcus Rashford yang juga bekas penyerang Manchester United kerana segera memberi impak positif kepada pasukan itu.

Rashford, yang dipinjamkan oleh Villa dari United awal bulan ini, tampil sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dalam kemenangan 2-1 ke atas Chelsea dengan memberikan dua bantuan gol kepada pemain baru Marco Asensio.

Dua bulan selepas Rashford tidak lagi mendapat kepercayaan pengurus United, Ruben Amorim dan selepas menerima kritikan kerana kurang bersemangat dan usaha namun perlawanan ini menandakan persembahan terbaik pemain berusia 27 tahun itu dalam jangka masa panjang.

“(Kami mahu) menyokongnya. Membantunya. Cuba membantu dia merasa selesa di sini. Cuba membantunya mendapatkan keyakinan bersama kami. Cuba menggunakan kemahiran dalam idea taktikal kami, cuba untuk memberi tuntutan padanya. Dia sedang melalui proses ini.

“Sudah tentu dia bermain selama 45 minit yang fantastik. Sekarang kami mahu konsisten.

“Harapnya dia akan menjadi antara tonggak penting. Paling penting untuknya adalah cuba untuk berada di sini bersama kami dan merasa yakin dan selesa dalam suasana yang baik, dan itulah objektif saya,” kata Emery kepada Sky Sports mengenai pendekatannya dengan Rashford.

Rashford tampak ingin memberi kesan di Villa sejak kedatangannya, dan rakan sepasukannya serta penyokong memberi sambutan hangat.

Kelajuan Rashford menjadikannya ancaman di sebelah kiri sepanjang separuh masa kedua di Villa Park, dengan penyokong bersorak mendokongnya.

“Saya sangat gembira (dengan perolehan Rashford), terutamanya dengan cara dia bermain sekarang dan dengan dua bantuan gol,” kata pemain tengah Villa, Youri Tielemans.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top