Rashford dirundung malang terpaksa berehat panjang

Rashford dirundung malang terpaksa berehat panjang

London: Penyerang Aston Villa yang dipinjamkan dari Manchester United, Marcus Rashford dijangka terlepas baki musim ini akibat kecederaan hamstring.

Tahap serius kecederaan itu, yang menyebabkan Rashford tidak dapat beraksi ketika tewas kepada Crystal Palace pada aksi separuh akhir Piala FA, semalam, masih dalam penilaian.

Peluang pemain berusia 27 tahun itu untuk kembali sebelum kempen Liga Perdana tamat adalah tipis.

Sebaliknya, Rashford berkemungkinan memberi tumpuan kepada proses pemulihan bagi memastikan dia cergas untuk perlawanan England pada Jun nanti iaitu aksi kelayakan Piala Dunia menentang Andorra dan perlawanan persahabatan menentang Senegal.

Jika dia kembali sebelum itu, penampilan terakhir Rashford dalam liga musim ini akan menentang Tottenham pada 18 Mei, memandangkan dia tidak layak beraksi dalam perlawanan terakhir Aston Villa musim ini menentang United pada 25 Mei.

Rashford turut hadir menyaksikan pertarungan tinju berprofil tinggi antara Chris Eubank Jr dan Conor Benn di Stadium Tottenham Hotspur, Sabtu lalu.

Dia juga membuat keputusan untuk tidak berbincang dengan mana-mana kelab mengenai masa depannya sehingga lewat musim panas ini.

Kontrak Rashford bersama United masih berbaki hingga 2028, namun dia tidak menjangkakan akan bermain untuk kelab itu lagi selagi Ruben Amorim kekal sebagai pengurus.

Rashford dipanggil semula ke skuad England oleh Thomas Tuchel dalam senarai pertama beliau sebagai pengurus pada bulan lalu, selepas sebelum ini tidak tersenarai dalam skuad Euro 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top