Ranieri buktikan masih berbisa di pentas Eropah

Ranieri buktikan masih berbisa di pentas Eropah

Paris: Claudio Ranieri membuktikan sentuhannya masih berbisa di pentas Eropah apabila membimbing Roma ke pusingan 16 Liga Europa dengan kemenangan dramatik 3-1 ke atas Porto, hasil inspirasi dua gol Paulo Dybala.

Ranieri, yang kembali ke Roma dalam misi menyelamatkan musim mereka, merancang strategi sempurna untuk menewaskan pasukan lawan walaupun ketinggalan lebih awal.

Selepas keputusan 1-1 di Portugal minggu lalu, Roma dikejutkan dengan jaringan awal Samu Aghehowa.

Namun, Ranieri tidak panik dan pasukannya segera membalas menerusi dua jaringan Dybala yang mengubah rentak permainan.

Porto semakin tertekan apabila kehilangan Stephen Eustaquio yang dibuang padang, sebelum Niccolo Pisilli menjaringkan gol ketiga untuk memastikan kemenangan mutlak Roma dengan agregat 4-3.

Ranieri, yang terkenal dengan keupayaannya membentuk pasukan berdaya saing seperti ketika membawa Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2016, memuji kepimpinan Dybala di dalam dan luar padang.

“Memiliki pemain seperti Dybala adalah satu kelebihan besar. Dia seorang juara sejati tidak banyak bercakap tetapi setiap kata-katanya sangat bermakna,” kata Ranieri kepada Sky Sport.

Dengan pengalaman luasnya di pelbagai liga utama Eropah, Ranieri kini mengintai peluang membawa Roma lebih jauh dalam saingan Eropah.

Undian pusingan 16 akan menentukan sama ada mereka berdepan Athletic Bilbao atau seteru setempat Lazio.

Jika Roma mampu mengekalkan momentum ini, Ranieri mungkin akan mencipta satu lagi kisah kejayaan dalam kariernya yang penuh warna-warni.

Di Belgium, Ajax hampir tersingkir di tangan Union Saint Gilloise walaupun membawa kelebihan 2-0 dari perlawanan pertama.

Kevin Mac Allister merapatkan jurang sebelum Promise David menyamakan agregat menerusi sepakan penalti selepas kapten Ajax, Davy Klaassen dibuang padang seawal minit ke-25 akibat bola terkena tangan.

Namun, sepakan penalti Kenneth Taylor dalam masa tambahan memastikan kelab Belanda itu mara dengan agregat 3-2.

Sementara itu, pasukan kendalian Jose Mourinho, Fenerbahce layak ke pusingan 16 selepas seri 2-2 di tempat lawan menentang Anderlecht, melengkapkan agregat 5-2.

Real Sociedad pula berpesta gol dengan kemenangan 5-2 ke atas Midtjylland, memberikan mereka agregat besar 7-3.

Mereka kini bakal menanti pemenang antara Manchester United atau Tottenham Hotspur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top