Rancangan Trump pindahkan rakyat Palestin dianggap 'ancaman' besar bagi Jordan

Rancangan Trump pindahkan rakyat Palestin dianggap 'ancaman' besar bagi Jordan

Amman: Rancangan Donald Trump untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza menimbulkan ancaman besar terhadap Jordan, dengan penganalisis mengatakan ia akan menggugat keseimbangan yang perlu dicapai kerajaan itu antara memastikan kesinambungan bantuan Amerika Syarikat (AS) dan melindungi keselamatan negaranya sendiri.

Presiden AS itu mengumumkan minggu ini, diiringi dengan kejutan kepada hadirin, cadangan untuk AS mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduknya.

Beliau sebelum ini mencadangkan Jordan dan Mesir – kedua-duanya sekutu AS serta jiran Israel dan wilayah Palestin – sebagai destinasi berpotensi, namun kedua-dua negara itu dengan tegas menolak cadangan itu dan mengulangi sokongan mereka terhadap penubuhan negara Palestin.

“Projek ini bukan sahaja bertujuan menghapuskan hak nasional rakyat Palestin di tanah mereka, tetapi juga menjejaskan keselamatan, kestabilan, identiti dan kedaulatan Jordan,” kata Oraib Rantawi, ketua Pusat Kajian Politik Al Quds yang berpangkalan di Amman.

“Di Jordan, kami akan menghadapi ancaman eksistensial (kewujudan), bukan sekadar ancaman keselamatan,” tambahnya, memberi amaran bahawa langkah ini akan membawa konflik Israel-Palestin ke Jordan.

“Jordan mungkin tidak lagi wujud jika rancangan pemindahan ini dilaksanakan.”

Pada Rabu, Raja Abdullah II menolak sebarang usaha untuk mengambil alih wilayah Palestin dan mengusir rakyatnya, serta mengadakan perbincangan dengan Presiden Palestin Mahmud Abbas mengenai perkara itu.

Pada 11 Februari, beliau dijadualkan bertemu Trump di Washington, selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menjadi pemimpin asing pertama bertemu presiden itu di Rumah Putih sejak pelantikannya.

Trump Bertegas Walau Dikecam

Walaupun mendapat kecaman meluas, Trump tetap mempertahankan rancangannya, mendakwa bahawa “semua orang menyukainya.”

“Amerika Syarikat akan mengambil alih Jalur Gaza dan kami akan membangunkannya. Kami akan memilikinya,” katanya, mencetuskan kemarahan global.

Rantawi menyifatkan pelan itu sebagai “resipi kehancuran, bukan kestabilan dan keamanan.”

Bekas menteri penerangan Jordan, Samih al-Maaytah berkata, rancangan ini adalah ‘bunuh diri politik’ bagi Jordan dan Mesir, kerana kedua-duanya akan dituduh bersekongkol untuk menghapuskan perjuangan Palestin.

“Bagi Jordan, ia akan mengubah demografi dan landskap politik kami, serta menghancurkan identiti nasional kami,” tambahnya.

Separuh daripada penduduk Jordan yang berjumlah 11 juta berasal dari Palestin, dan sejak penubuhan Israel pada 1948, ramai rakyat Palestin mencari perlindungan di Jordan.

Menurut angka PBB, 2.2 juta rakyat Palestin berdaftar sebagai pelarian di Jordan.

Sehingga pendudukan Israel pada 1967, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur berada di bawah pentadbiran Jordan.

Tentera Jordan dan kumpulan Palestin pernah berjuang bersama menentang Israel pada 1968, namun pada 1970, pertempuran tercetus antara tentera Jordan dan kumpulan Palestin dalam konflik yang dikenali sebagai ‘September Hitam’.

Konflik itu, yang berpunca daripada tindakan kumpulan bersenjata Palestin beroperasi di Amman dan bandar-bandar utama lain serta menubuhkan sekatan jalan haram, akhirnya membawa kepada pengusiran kumpulan terbabit dari negara itu.

Kemarahan Jordan dan risiko ekonomi

Sebahagian besar kemarahan terhadap cadangan Trump berpunca daripada peralihannya daripada usaha antarabangsa yang selama ini berlandaskan penentuan nasib sendiri rakyat Palestin dan penyelesaian dua negara.

“Siapa yang memberi Trump kuasa moral, undang-undang dan politik untuk campur tangan di Gaza, mengambil alihnya dan melabur di dalamnya? Dia bercakap tentang Gaza seperti seorang pemaju hartanah, bukan seperti ketua negara,” kata Rantawi.

Bagi Jordan, kemarahan ini juga berkait dengan kurangnya pengiktirafan terhadap kedaulatannya.

Jordan juga sedar akan tekanan ekonomi yang boleh dikenakan oleh Amerika Syarikat, memandangkan ekonomi negara itu kecil dan sangat bergantung kepada bantuan antarabangsa, terutamanya dari Washington.

Setiap tahun, Jordan menerima kira-kira US$750 juta (RM3.3 bilion) dalam bantuan ekonomi dan US$350 juta (RM1.55 bilion) dalam bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat.

Namun, Raja Abdullah tidak mungkin memberi ruang kepada Trump dalam perbincangan mereka nanti.

“Baginda tidak mempunyai pilihan selain menolak cadangan ini secara total,” kata Rantawi, sambil menambah bahawa isu ini tidak boleh dirunding.

“Trump mahu kami menjual Jordan untuk US$1.5 bilion (RM6.64 bilion) dalam bantuan,” katanya.

Mustafa al-Amawi, seorang ahli parlimen Jordan, menegaskan bahawa bantuan AS “bukan satu hadiah.”

“Tetapi jika kami terpaksa memilih antara bantuan atau kedaulatan, kami tidak akan menerima bantuan itu,” katanya.

Maaytah bersetuju.

“Benar bahawa Jordan akan terkesan jika bantuan dihentikan, tetapi ia tidak berbaloi untuk dipertaruhkan,” katanya.

Kebimbangan terhadap tekanan yang bakal dihadapi berhubung cadangan Trump mendorong penggubal undang-undang Jordan menyediakan rang undang-undang mengenai kedaulatan negara dan menolak sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin ke Jordan sebagai ‘tanah air alternatif’.

“Parlimen berdiri teguh bersama Raja, dan menolak secara mutlak kenyataan Presiden AS mengenai pemindahan paksa rakyat Gaza ke Jordan, Mesir atau mana-mana negara lain,” kata Amawi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top