Rancak ekonomi Pulau Tuba

Rancak ekonomi Pulau Tuba

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Terletak kira-kira lima kilometer di barat daya Jeti Kuah, Pulau Langkawi, Kedah, Pulau Tuba yang kaya dengan keindahan alam semula jadi terus memacu imej positif sebagai destinasi ekopelancongan apabila kemudahan dan fasiliti dinaik taraf menerusi program Kampung Angkat Madani.

Pulau Tuba dan Selat dipilih sebagai Kampung Angkat Madani di bawah Kementerian Kewangan dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) menjadi agensi pelaksana yang mana ia menerima peruntukan RM2.5 juta bagi pembangunan kawasan berkenaan sebagai tarikan pelancongan, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk.

Melalui inisiatif itu, sebanyak 12 projek sudah selesai dilakukan dan sedang dalam pelaksanaan dengan antaranya ialah program gotong-royong, program komuniti dan peralatan bantuan, pembinaan telaga tiub, pemasangan lampu solar, menaik taraf masjid dan surau, membaik pulih tandas dan landskap.

Selain itu, ia turut meliputi kerja menaik taraf papan tanda dan pintu gerbang, membina gerai atau ruang niaga, menaik taraf dewan, balai raya, tandas, gelanggang, padang bola dan trek riadah serta pembaikan jalan kampung.

Pengerusi Majlis Komuniti Kampung (MKK) Kampung Selat Bagan Nyior, Hasmadi Mat Hashim, 48, berkata, program itu bukan sahaja meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk serta pelancong, malah turut menjana ekonomi penduduk setempat.

Menurutnya, selain itu jaringan pekerjaan dan pendapatan juga lebih meluas apabila penduduk tempatan tidak lagi hanya bergantung kepada pendapatan nelayan semata-mata apabila mereka juga boleh berniaga dengan suri rumah juga mengambil peluang itu untuk menjana ekonomi keluarga.

“Banyak manfaat diperoleh melalui program Kampung Angkat Madani yang terus merancakkan lagi industri pelancongan di sini, malah banyak juga kemudahan dinaik taraf yang memberi manfaat kepada penduduk dan pelancong yang datang ke sini.

“Kami bersyukur apabila masalah bekalan air dan jalan gelap dapat diselesaikan dengan pembinaan tiga telaga tiub serta pemasangan lampu solar. Lampu jalan memang ada cuma kurang dan pemasangan lampu solar ini menambahkan bilangannya, sekali gus menjadikan kawasan lebih terang pada waktu malam.

“Sebelum ini ada laluan kampung agak gelap dan pelancong juga bimbang mahu keluar mencari makan sekitar kampung, tetapi kini masalah itu dapat diatasi dan laluan yang lebih terang menjadikan kami semua selesa,” katanya.

Katanya, pembinaan tiga telaga tiub mengatasi keluhan penduduk ketika krisis air berlaku apabila musim kemarau yang membawa keceriaan kepada 5,000 penduduk pulau itu yang berdepan masalah bekalan air sejak beberapa tahun lalu.

“Setiap kali musim kemarau kami berdepan masalah bekalan air dan walaupun ada bantuan bekalan tetapi ia tetap tidak dapat menampung keperluan kami, malah penduduk terpaksa menggali telaga sendiri untuk mendapatkan sumber air sebelum ini.

“Tetapi, kini kami sudah boleh menarik nafas lega apabila tiga telaga tiub itu sudah siap dibina dan boleh menampung keperluan penduduk bagi mendapatkan air untuk urusan harian,” katanya.

Sementara itu, anak jati Pulau Tuba yang juga pengusaha keropok lekor sejak 2018, Rosnani Che Ghazali, 49, berkata, dia menerima bantuan peralatan untuk mengembangkan perniagaannya, sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarga.

Menurutnya, melalui program Kampung Angkat Madani dia menerima bantuan mesin pengadun berkapasiti besar dan pembungkusan vakum yang memudahkan operasi perniagaannya terutama untuk pembungkusan keropok lekor.

“Saya menerima mesin pengadun berkapasiti 30 kilogram (kg) dan pembungkusan vakum bagi mengembangkan usaha saya untuk memenuhi permintaan pasaran sekitar Langkawi. Sebelum ini saya boleh menghasilkan 40 bungkus keropok lekor sehari, tetapi sekarang dengan penambahan mesin ini lebih 100 bungkus boleh dihasilkan.

“Malah, sekarang pembungkusan juga lebih mudah kerana sebelum ini mesin pembungkusan vakum saya rosak. Dengan adanya bantuan ini ia memang melegakan saya kerana pembungkusan lebih pratikal dan sesuai untuk pelancong bawa pulang keropok lekor kerana ia tidak mudah rosak,” katanya.

Bagi Ismail Masa, 53, sebagai anak jati Kampung Pulau Tuba dia bersyukur dan gembira melihat kemudahan serta projek pembangunan di pulau berkenaan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat, sekali gus menarik lebih kehadiran pelancong ke Pulau Tuba.

Menurutnya, Pulau Tuba juga kaya dengan keindahan alam semula jadinya dan kian mendapat tumpuan dengan tarikan seperti hidangan mi udang, hasil laut segar, lokasi aktiviti mendaki bukit dan beberapa lokasi lain seperti Gua Wang Buluh dan Gua Kelawar.

“Banyak manfaat yang penduduk peroleh daripada program ini seperti jalan kampung dibaiki, pemasangan 100 lampu solar yang sudah selesai dilakukan juga menggembirakan kami, malah kini kanak-kanak dan belia mempunyai lokasi beriadah apabila gelanggan futsal yang sebelum ini rosak sudah dibaik pulih.

“Program ini juga menaik taraf masjid dan dewan orang ramai yang mana dengan kemudahan yang baik serta landskap menarik ia bukan saja memberi keselesaan kepada penduduk dan pelancong, sekali gus boleh menarik lebih ramai kehadiran pegunjung serta merancakkan aktiviti pelancongan di Pulau Tuba,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top