syafil.syazwan@hmetro.com.my
MEMEGANG status sebagai duda nampaknya turut membawa beberapa cabaran besar buat penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, 47.
Tidak hanya diperhati setiap tingkah lakunya, Fazley juga menjadi ‘mangsa’ percubaan beberapa wanita pelbagai usia yang ingin mencuba nasib menjadi jodohnya.
Bagi penyanyi yang pernah menjadi julukan sebagai Abang Asmara ini, semua itu dianggap sebagai hiburan santai buatnya.
“Pernah seorang mak cik umur lebih 66 tahun, hantar gambar baju dalam yang dia pakai. Mula-mula saya ingat akaun palsu, tapi bila semak, rupanya akaun betul.
“Baru saja dia muat naik gambar cucu. Saya tanya, ‘Makcik umur berapa?’, dia jawab, ‘Saya dah 66’. Saya anggap semua itu sebagai hiburan saja.
“Saya layan saja DM tu. Jarang saya sekat, kecuali kalau ada yang kutuk melampau,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Asmara Ini itu lagi, dia juga pernah ditegur oleh seorang wanita di persimpangan lampu isyarat.
“Perempuan sekarang sangat berani. Contohnya masa saya pergi bazar Ramadan, ada perempuan muda pandu kereta, dia hon saya. Lepas tu dia buka QR WhatsApp dan cakap, ‘Bang, scan (imbas) WhatsApp saya’.
“Saya ingat saya terlupa bayar sesuatu tadi. Rupa-rupanya dia nak bagi nombor. Saya baru tahu orang guna cara begitu.
“Itu belum lagi janda-janda yang hantar DM dan cakap, nak ‘book’ anak saya jadikan menantu mereka, dan selepas itu, ‘kita’ pula. Siap hantar saiz baju lagi dan cakap itu saiz baju nikah,” katanya.
Berkongsi mengenai penampilannya yang sentiasa mencuri perhatian dan kini dilabel sebagai jejaka seksi, Fazley berkata, reaksi masyarakat itu nampaknya menjadi-jadi sedangkan gaya itu sudah digayakannya sejak masih bergelar suami orang.
“Orang melihat saya bukan sebagai artis dah, tetapi sebagai satu produk, sama ada mereka boleh terima atau boleh ‘jual beli’.
“Kelakar juga, sebab saya pergi gimnasium dan main badminton memang pakai seluar pendek. Tak ada yang lebih pun daripada itu. Tapi sekarang baru orang perasan. Siap ada yang tanya, kulit putih, nampak kaki, nampak peha dan sebagainya.
“Sebenarnya, hantaran yang sama saya dah buat setahun lalu, tapi sekarang baru orang ambil kisah. Kita tak boleh nafikan kalau orang menilai. Jadi saya reda sajalah.
“Reda dengan mata-mata yang memandang, termasuk mata-mata yang nakal. Saya terima sebagai satu bentuk rezeki. Kalau orang puji, itu rezeki. Kalau orang mengata, itu satu peringatan,” katanya.
Terbaharu, Fazley bakal hadir dengan single yang lari daripada rentak muzik kebiasaannya dan mula bermain dengan genre berbeza.
“Lagu baharu dah siap. Biasalah, lagu komersial. Kalau didengari, ia bukanlah seperti lagu kebiasaan Fazley Yaakob. Tapi, apabila saya bagi kawan dengar, semua teruja.
“Kami akan bagi previu di TikTok nanti dan ini adalah lagu saya dengan DJ Fuzz serta seorang penyanyi perempuan. Ada elemen rap juga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd