Ramai pendidik mahir, kreatif mengajar – PM

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ramai kalangan warga pendidik memiliki kemahiran, kepakaran dan komited dalam menyampaikan kandungan secara kreatif.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi bahan pembelajaran yang disiarkan dalam televisyen. “Baru-baru ini saya berkesempatan menonton slot ‘Road to Success SPM 2020’ bagi subjek Matematik Kertas 1 oleh Cikgu Arzman Saad.

“Antara yang menarik perhatian saya adalah cara penyampaian guru yang begitu kreatif serta mudah diterima dan difahami oleh murid,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis pelancaran DidikTV KPM hari ini.

Muhyiddin berkata, guru yang dijemput untuk mengajar adalah kalangan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing supaya kualiti pengajaran yang disampaikan berada pada tahap terbaik.

“Program sebegini adalah sangat baik bagi membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan mula menduduki peperiksaan pada minggu hadapan.
“Tahniah kepada guru-guru yang begitu komited mendidik anak murid dalam apa juga keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran yang dihadapi murid, guru dan ibu bapa dalam situasi negara berdepan pandemik COVID-19 dengan mempelbagaikan sumber pembelajaran bagi membantu murid.

“Pada 1 Mac 2008, TV Pendidikan secara terestrial ditukar kepada format dalam talian melalui portal EduwebTV dan seterusnya ditamatkan pada 1 Januari 2009.

“Namun demikian, KPM mengambil inisiatif menghidupkan kembali slot program TV Pendidikan secara terestrial pada awal tahun lalu, iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu.

“Justeru, kerajaan kerajaan bersetuju mewujudkan satu saluran khusus untuk siaran TV Pendidikan dan hari ini terukir sejarah buat pertama kalinya memperkenalkan DidikTV KPM,” katanya -Sumber: BH

malay news
national desk

 

Scroll to Top