Rakyat perlu jaga kestabilan negara 

Rakyat perlu jaga kestabilan negara 

PETALING JAYA: Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang menaikkan tarif banyak negara dagangnya menjadi peringatan penting dalam usaha memelihara kemakmuran Malaysia.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa  rakyat agar terus menjaga kestabilan negara terlebih dahulu dalam mendepani cabaran semasa dunia dengan  memastikan daya tahan serta daya saing negara dapat dikekalkan.

“Trump menetapkan tarif kepada kita sebanyak 24 peratus dan ada negara 50 peratus, Indonesia dan Thailand 30 peratus.Jadi apa yang kita lakukan? Ia mengingatkan kita, kita kena siap jaga rumah tangga kita kena betul. Negeri kita, ekonomi kita supaya bila ada malapetaka yang menimpa, kita dapat bertahan.

“Ini yang disebut daya tahan supaya kita ada daya saing,” katanya berucap pada Majlis Aidilfitri MADANI 2025 Sarawak di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, semua nikmat diperoleh rakyat perlu disyukuri, termasuk pimpinan negara yang mendengar pandangan dan keluhan rakyat.

“Syukur ini penting. Kadang-kadang kita dapat manfaat, kita anggap semuanya biasa sahaja sedangkan hakikatnya tidak begitu.

“Kadang-kadang kita lupa bersyukur. Jangan kita kufur menolak nikmat Tuhan. Kalau kita menolak, asyik maki, asyik marah, asyik tak kenang budi, itu bahaya, takut azab yang pedih akan menimpa kita.

“Sistem politik Sarawak stabil, pimpinannya mempunyai wawasan, tegas dan mempunyai idea untuk sentiasa menimba pengalaman baharu mencungkil bakat keupayaan.

“Selain itu, Sarawak memberi sumbangan yang besar dan di semua negara saya kunjungi, baik Eropah, China, Jepun apa lagi ASEAN, justeru saya sebut Sarawak berpotensi besar sebagai hab tenaga rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar mengarahkan agensi Persekutuan khususnya di bawah Kementerian Kerja Raya  dan Kementerian Pendidikan menyegerakan projek pembangunan sekolah di Sarawak.

Perdana Menteri berkata, pembangunan sekolah adalah antara keperluan mendesak dan rakyat mahu pelaksanaannya dipercepat.

Beliau berkata, wujud keperluan bagi Kerajaan Persekutuan dan negeri meningkatkan usaha ke arah menjaga kepentingan bersama.

“Ada cadangan meminta saya mengumumkan pembangunan sekolah baharu, sama ada sekolah rendah atau menengah di serata Sarawak,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top