WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan, rakyat Palestin tidak akan memiliki hak untuk kembali ke Gaza di bawah rancangan pengambilalihan AS, yang digambarkannya sebagai “pembangunan hartanah untuk masa depan.”
Dalam petikan temu bual yang disiarkan pada Isnin, Trump memberitahu Bret Baier dari Fox News bahawa “saya akan memilikinya” merujuk kepada Gaza.
Trump turut mencadangkan akan ada sehingga enam kawasan penempatan baharu untuk rakyat Palestin di luar Gaza di bawah pelan tersebut.
Pelan ini, bagaimanpun, telah ditolak mentah-mentah oleh dunia Arab dan masyarakat antarabangsa.
“Tidak, mereka (rakyat Palestin) tidak akan (kembali), kerana mereka akan mendapat perumahan yang jauh lebih baik,” kata Trump ketika ditanya sama ada rakyat Palestin berhak kembali ke Gaza, yang sebahagian besarnya telah musnah akibat serangan tentera Israel sejak Oktober 2023.
Tambah Trump: “Saya bercakap tentang membina tempat tinggal kekal untuk mereka, kerana jika mereka perlu kembali sekarang, ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk menjadikan Gaza boleh didiami semula.”
Trump pertama kali mendedahkan rancangan kontroversi ini semasa sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Selasa lalu, yang mencetuskan kemarahan rakyat Palestin.
Presiden AS itu turut menggesa agar rakyat Palestin dipindahkan keluar dari Gaza yang musnah akibat peperangan Israel-Hamas dengan mencadangkan supaya Mesir dan Jordan menerima mereka.
Dalam temu bual bersama Fox, Trump menyatakan hasratnya untuk membina “komuniti indah” bagi lebih dua juta rakyat Palestin yang kini tinggal di Gaza.
“Mungkin lima, enam atau dua kawasan. Tetapi kami akan membina komuniti yang selamat, sedikit jauh dari kawasan berbahaya di mana mereka tinggal sekarang,” tambahnya.
Trump juga berkata: “Sementara itu, saya akan memilikinya (Gaza). Anggap ini sebagai pembangunan hartanah untuk masa depan. Ia akan menjadi sebidang tanah yang indah. Tidak memerlukan perbelanjaan besar.”
Trump mengejutkan dunia minggu lalu apabila secara tiba-tiba mengumumkan rancangan AS untuk “mengambil alih Semenanjung Gaza”, membersihkan sisa runtuhan dan bom yang tidak meletup, serta mengubahnya menjadi “Riviera Timur Tengah.”
Walaupun pada awalnya Trump menyatakan bahawa rakyat Palestin boleh menjadi sebahagian daripada “penduduk dunia” yang dibenarkan tinggal di sana, kenyataan terbaharunya menunjukkan pendiriannya semakin tegas untuk tidak membenarkan rakyat Palestin kembali.
Sementara, sekutunya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Ahad memuji rancangan Trump dengan menyifatkan ia sebagai visi baharu yang lebih baik untuk Israel.
Namun begitu, reaksi global terhadap pelan ini penuh dengan kemarahan.
Mesir, Jordan, negara-negara Arab lain serta rakyat Palestin menolaknya secara total. Kritikan juga datang dari pemimpin Barat.
Canselor Jerman, Olaf Scholz menyifatkan pelan itu sebagai “skandal” dan menegaskan, pemindahan paksa rakyat Palestin adalah “tidak boleh diterima dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.”
Rancangan Trump turut mengancam kestabilan gencatan senjata selama enam minggu antara Israel dan Hamas di Gaza, sekali gus memburukkan lagi prospek untuk mencapai fasa damai yang lebih kekal.
Walau bagaimanapun, Trump tetap yakin bahawa beliau boleh memujuk Mesir dan Jordan untuk menyokong rancangannya.
“Saya rasa saya boleh membuat perjanjian dengan Jordan. Saya rasa saya boleh membuat perjanjian dengan Mesir. Anda tahu, kita memberikan mereka berbilion-bilion dolar setiap tahun,” kata Trump kepada Fox News.
Tahun lalu, Trump menggambarkan Gaza sebagai “seperti Monaco” manakala menantunya, Jared Kushner mencadangkan, Israel boleh mengosongkan Gaza daripada penduduknya untuk membuka peluang kepada pembangunan hartanah di kawasan tepi laut. – Agensi