Rakyat Malaysia berkobar-kobar menantikan Paris 2024

Rakyat Malaysia berkobar-kobar menantikan Paris 2024

Kuala Lumpur: Satu kajian diadakan baru-baru ini mendapati terdapat keterujaan luar biasa dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengikuti perkembangan Sukan Olimpik Paris 2024.

Ipsos dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil kajian itu berdasarkan kepada kaji selidik secara bersemuka dengan 500 orang dewasa 18 tahun ke atas dan secara dalam talian terhadap 24,531 orang dewasa di bawah umur 75 tahun, di 33 negara dari 24 Mei hingga 7 Jun 2024.

Dalam kenyataan medianya, Pengarah Urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon berkata, 73 peratus daripada rakyat Malaysia percaya Paris 2024 perlu terus diadakan tanpa mengira keadaan ekonomi dunia dan konflik yang berlaku.

“Dua daripada tiga rakyat Malaysia yang ditemui memaklumkan mereka berminat dengan sukan itu, iaitu satu angka 57 peratus lebih tinggi daripada dapatan kajian di negara lain.

“Bagi rakyat Malaysia, Olimpik Paris 2024 bukan hanya satu acara sukan. Lapan daripada 10 rakyat Malaysia, melihatnya sebagai sesuatu untuk mewujudkan perpaduan, kemegahan dan inspirasi untuk generasi akan datang melibatkan diri dalam sukan,” katanya.

Arun berkata, Paris 2024 mempunyai kesan positif dan penyatuan dalam kalangan rakyat Malaysia dan keterujaan rakyat negara ini terhadap temasya itu amat tinggi.

“Oleh itu, Paris 2024 tidak seharusnya terhenti akibat peperangan dan konflik yang sedang berlaku,” katanya.

Arun berkata, kajian mendapati badminton menjadi sukan yang paling dinantikan rakyat Malaysia, dengan 58 peratus menyatakan minat tinggi, mengatasi purata global sebanyak 28 peratus.

Selain itu, bola sepak berada pada kedudukan tinggi dengan 35 peratus rakyat Malaysia menunjukkan minat, berbanding purata 28 peratus di seluruh negara lain.

Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos, akan menjadi Sukan Olimpik pertama sejak pandemik Covid-19.

© New Straits Times Press (M) Bhd