ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan rakyat sudah muak dengan pemimpin bermusim, khususnya golongan yang hanya muncul ketika tempoh Pilihan Raya Umum (PRU).
Beliau yang juga Pengarah Operasi PRU Barisan Nasional (BN) Johor sebaliknya berkata, rakyat negeri ini memerlukan pemimpin yang akan kekal di kawasan dimenangi mereka untuk berkhidmat.
Menurutnya, pemimpin bermusim adalah pengalaman buruk yang dihadapi penduduk di sesuatu kawasan, khususnya di Parlimen Iskandar Puteri.
“Dalam kita menuju PRU, saya mahu tekankan bahawa rakyat khususnya di Parlimen ini mahukan seorang pemimpin yang bukan bermusim, bermaksud apabila berkempen dia mahu menang, tetapi apabila sudah menang dia tidak turun berkhidmat kepada masyarakat.
“Itulah yang dirasai masyarakat di Parlimen Iskandar Puteri selama 10 tahun. Saya yakin mereka sudah menyedari Ahli Parlimen yang hilang ini sepatutnya bersara. Jadi, mereka akan letakkan calon baharu dan saya yakin calon baharu itu akan sama seperti individu sebelumnya, datang berkempen dan selepas menang akan hilangkan diri.
“Jika perkara itu berlaku, hanya pengundi dan rakyat kawasan terlibat akan mengalami kerugian dan bukannya parti politik atau pemimpin berkenaan, sedangkan dia ‘missing in action’, hilang entah ke mana,” katanya merujuk kepada veteran DAP, Lim Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri selama dua penggal.
Menteri Besar berkata demikian semasa menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Parlimen Iskandar Puteri di Skudai, di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Onn Hafiz berkata, BN tselah mengenal pasti calon anak tempatan yang paling sesuai khususnya di Parlimen Iskandar Puteri dalam PRU 15 pada 19 November ini.
“Memang pucuk pimpinan (BN) belum tentukan siapa calon, tetapi rakyat akar umbi di sini mahu seorang pemimpin tempatan yang bukan sahaja rajin, malah konsisten dengan perjuangan untuk menyantuni masyarakat tempatan, menang kalah dia di sini, orang itu adalah Datuk Jason Teoh (Ketua MCA Bahagian Iskandar Puteri),” ujarnya.
Sementara itu, Onn Hafiz turut memberitahu tidak mempunyai masalah sekiranya kepimpinan BN mahu mencalonkan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk bertanding di peringkat Parlimen dalam PRU 15.
“Saya berpandangan itu merupakan keputusan pucuk pimpinan, apa pun keputusan yang dibuat mereka, kita akan sokong, tetapi tidak menjadi masalah, sama ada ADUN itu Exco pun sama juga, boleh dibincangkan kerana kita semua orang parti,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Machap menyambut baik nasihat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani yang mahukan kepimpinan negeri membezakan antara program politik dan program parti sepanjang tempoh berkempen. –UTUSAN