AMERIKA SYARIKAT: Ribuan penduduk berkumpul di bandar-bandar sekitar Amerika Syarikat (AS) untuk mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah pentadbiran Presiden Donald Trump.
Ini diadakan bagi mengkritik segala tindakan Trump dalam pengurusan imigresen dan cadangannya untuk memindahkan secara paksa rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza.
Penunjuk perasaan berkumpul di Philadelphia, selain di ibu negeri California, Minnesota, Michigan, Texas, Wisconsin, Indiana dan mengibarkan papan tanda yang mengutuk Trump, Ketua Jabatan Kecekapan Kerajaan, Elon Musk dan Projek 2025, sebuah buku panduan untuk kerajaan dan masyarakat Amerika.
“Saya terkejut dengan perubahan demokrasi sejak dua minggu lepas, tetapi ia sebenarnya bermula lebih lama daripada itu. Jadi, saya hanya cuba menyumbang kehadiran sebagai bentuk penentangan,” kata Margaret Wilmeth di satu tunjuk perasaan di luar Dewan Negeri di Columbus, Ohio.
Tunjuk perasaan yang diadakan itu semalam adalah hasil daripada gerakan yang dianjurkan secara dalam talian di bawah tanda pagar #buildtheresistance dan #50501, yang bermaksud ‘50 tunjuk perasaan, 50 negeri, satu hari’.
Laman web dan akaun media sosial turut mengeluarkan seruan supaya rakyat AS bertindak, dengan mesej seperti ‘tolak fasisme’ dan ‘pertahankan demokrasi kita’ memenuhi ruang di dalam talian negara itu.
Sementara itu, Catie Miglietti yang tinggal di Ann Arbor, Michigan berkata, akses Musk kepada data Jabatan Perbendaharaan adalah amat membimbangkan dan tidak sepatutnya berlaku.
Dalam sepanduk yang dibawanya, beliau melukis bagi menggambarkan Musk yang mengawal Trump seperti boneka, merujuk kepada gerakan lurus tangan Musk ketika ucapannya pada Januari, yang ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai Nazi.
“Jika kita tidak menghentikannya dan mendesak Kongres untuk bertindak, ini adalah serangan terhadap demokrasi,” katanya. – AGENSI