redzuan.muharam@hmetro.com.my
Shah Alam: “Adik cakap ayah adik jual laksa, mereka ketawakan adik. Adik tak tahu kenapa mereka ketawakan adik.”
Itu luahan Nik Ainul Mardhiyah, 8, atau Ainul kepada bapanya, Mohd Syahid Abdullah, 34, ketika menceritakan pengalamannya dengan rakan di sekolah.
Video yang dikongsikan Mohd Syahid, 34, menyentuh hati warganet dengan memberi semangat kepada kanak-kanak berkenaan untuk kuat serta bersyukur kerana masih mendapat kasih sayang bapa.
Berkongsi kisah sebenar, Mohd Syahid dari Setia Alam, di sini, berkata, video itu dirakam secara spontan ketika bersembang dengan anaknya di medan selera dekat sebuah pasar raya.
“Hari itu, saya ambil anak dari sekolah dan bawa makan sebelum pulang ke rumah.
“Waktu makan, saya tanya apa Ainul buat di sekolah.
“Ketika itulah, dia cerita yang rakannya bersembang mengenai pekerjaan bapa masing-masing dan katanya, rakan gelak bila dia beritahu ayahnya bekerja sebagai peniaga laksa,” katanya.
Katanya, Ainul tidak menunjukkan reaksi sedih ketika bercerita dengannya.
“Tapi mungkin dia hairan kenapa rakannya beri reaksi begitu dan sekadar nak bercerita.
“Lagipun, saya memang sudah pesan kepada Ainul supaya beritahu saya kerja penjual makanan jika cikgu atau ada sesiapa yang tanya.
“Alhamdulillah, Ainul faham malah dia pun rajin teman dan tolong saya di gerai pada hujung minggu,” katanya.
Mohd Syahid berkata, dia sudah empat tahun mencari rezeki sebagai peniaga makanan.
“Dulu saya bekerja sebagai penyelia tapak binaan namun berhenti waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana masalah gaji, jadi cuba cari rezeki dengan berniaga di sebuah gerai dibuka dekat Alam Budiman, Seksyen U10, di sini.
“Memang mencabar kerana tak ada ilmu dan pengalaman tapi terpaksa kerana susah cari kerja waktu itu, saya pula kena tanggung isteri dengan anak.
“Jadi ikhtiar dengan berniaga dan mulanya susah nak dapat pelanggan tapi lama-kelamaan okay.
“Alhamdulillah, ramai yang sokong cuma ada juga segelintir individu terdekat cuba memperlekeh,” katanya yang dibantu isteri, Nik Suhaila Nik Su, 34.
© New Straits Times Press (M) Bhd