georgie@hmetro.com.my
Mac Training Centre Sdn Bhd dengan kerjasama Studio Funky Brigad meneruskan projek khusus dinamakan Lagu Dari Seluloid Volume 2 yang bukan bertujuan hiburan semata-mata.
Projek itu adalah pengarkiban pendigitalan dan rakaman semula (secara digital) 10 lagu-lagu dari filem Melayu Klasik tahun 1950-1959.
Projek itu bagi memastikan lagu-lagu era itu diselarikan dengan peredaran dunia digital dan proses IR4/IR5 pada masa kini. Apatah lagi khazanah terbabit itu cukup tinggi nilai estetikanya.
Misinya tidak lain bagi memastikan khazanah seni warisan bangsa terus dapat dikekalkan, diakses serta terpelihara untuk rujukan masa kini serta generasi akan datang.
Pengarah Urusan Mac Training Centre, Samirah Hambali berkata, mereka percaya usaha itu sangat penting dalam industri muzik dan ia diteruskan dengan bantuan Yayasan Hasanah.
“Terima kasih kepada Yayasan Hasanah yang masih menaruh kepercayaan untuk kami memikul tanggungjawab yang bukan kecil ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah projek merangkap pengarah muzik, Shamsul Cairel berkata, pemilihan lagu-lagu masih lagi mengekalkan sumber-sumber dari filem tahun 1950 hingga 1959.
Menurutnya, mereka berdepan cabaran tertentu dalam tempoh menyiapkan proses itu. Misalnya, filem Bakti sudah tidak punya salinan seluloid. Malah, Ahmad Fauzee sendiri pun tidak ada salinannya.
“Jadi, kami menemui kesukaran untuk membuat rujukan bagi lagu Merpati Dua Sejoli yang dimuatkan dalam filem terbabit. Tapi, mujur masih ada ‘klipping’ (potongan) filem itu yang dimuat naik di media sosial.
“Jadi, kami dapat siapkan pengarkibannya dengan melakukan skor muziknya dalam bentuk yang lebih segar. Ada sebab fokus projek ini lebih kepada lagu-lagu dalam filem Melayu Klasik era 1950-an.
“Era terbabit adalah kemuncak meledaknya muzik dan filem Melayu Klasik. Ketika itulah bermulanya transisi daripada bangsawan ke filem yang mana ia berlaku selepas era Perang Dunia Kedua,” katanya.
Proses perolehan maklumat yang sahih dan tepat mengenai sejarah di sebalik penciptaan lagu-lagu era 1950-an itu dibuat menerusi pelbagai kajian.
Kajian terbabit dilaksanakan maestro muzik dan komposer, Datuk Dr Johari Salleh serta pelakon dan penyanyi, Ahmad Fauzee. Mereka orang penting yang menyimpan banyak catatan sejarah era itu.
Mereka juga menjadi saksi perkembangan muzik dan sinema Malaysia pada zaman kegemilangannya yang bermula di Singapura. Bahkan, mempunyai hubungan cukup dekat dan erat dengan anak-anak seni di zaman itu.
Pensyarah, alumni dan pemuzik-pemuzik dari Fakulti Muzik, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem serta Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut terbabit dalam Kerjasama strategik itu.
Penyelidikan juga dibuat di Bahagian Muzik RTM, Arkib Negara serta Perpustakaan Negara. Pemuzik-pemuzik yang terbabit pula dari kalangan pelajar muzik Aswara serta beberapa tenaga profesional.
Barisan penyanyi yang terbabit dalam Lagu Dari Seluloid Volume 2 adalah Aqasha, Sharifah Zarina, Ayu Damit, Azizul Haqim, Ezdianie Hayatie dan Idris Brown.
Ada lagu yang menampilkan mereka secara nyanyian solo dan ada juga dalam bentuk duet.
© New Straits Times Press (M) Bhd