Raikan ‘Raya Dulu & Kini’ di Central i-City

Raikan ‘Raya Dulu & Kini’ di Central i-City

SHAH ALAM – Pusat beli-belah Central i-City memeriahkan sambutan Hari Raya dengan tema ‘Raya Dulu & Kini’ dengan menggabungkan elemen tradisional dan moden bagi meraikan warisan budaya negara.

Kempen itu berlangsung dari 8 Mac hingga 13 April ini, menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk bazar raya, program kebajikan, persembahan budaya dan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi dalam ucapan perasmiannya, mengiktiraf usaha Central i-City dalam menganjurkan sambutan yang merapatkan komuniti.

Mohd Najwan (kiri) merasmikan kempen Hari Raya dengan tema ‘Raya Dulu & Kini’ di Central i-City.

Mohd Najwan (kiri) merasmikan kempen Hari Raya dengan tema ‘Raya Dulu & Kini’ di Central i-City.

“Acara seperti ini membolehkan masyarakat dari pelbagai latar belakang etnik untuk menghayati dan menghargai budaya Melayu. Dengan persembahan tradisional, hiasan perayaan dan aktiviti interaktif, para pengunjung dapat menyelami warisan Hari Raya sambil menikmati elemen moden perayaan hari ini.

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja memelihara tradisi budaya, tetapi juga memperkukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia.

“Bazar Raya di Central i-City juga memberi platform kepada lebih 70 peniaga untuk berkembang, menarik pelanggan baharu dan merancakkan ekonomi tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Central i-City, Alfred Chua berkata, tema yang dipilih bertujuan untuk meraikan kedua-dua elemen tradisi dan kemodenan.

Jelasnya, ia mengingatkan masyarakat untuk menghargai warisan budaya, daripada nostalgia balik kampung, kuih raya buatan tangan, hingga kepada cahaya pelita tradisional.

Pelbagai tawaran istimewa khusus untuk pengunjung Central i-City.

Pelbagai tawaran istimewa khusus untuk pengunjung Central i-City.

“Pada masa yang sama, kita turut menerima perubahan zaman dengan pusat membeli-belah yang dihias indah, ucapan digital Hari Raya, dan trend fesyen kontemporari.

“Kami telah merancang pelbagai aktiviti untuk komuniti, termasuk bengkel, persembahan budaya, dan pertandingan. Central i-City komited untuk menjadi tempat di mana masyarakat boleh berkumpul, meraikan, dan menikmati pengalaman membeli-belah yang hebat,” ujar beliau.

Lebih menarik katanya, bermula 8 Mac hingga 13 April, pelanggan yang berbelanja di pusat membeli-belah itu boleh menebus hadiah eksklusif raya iaitu satu set sampul raya bagi pembelian RM200.

Selain itu, bagi perbelanjaan RM700, pelanggan akan memperoleh dua set sampul raya dan satu set bekas eksklusif manakala perbelanjaan RM5,000 akan mendapat tiga set sampul raya dan satu set teh seramik premium, dengan maksimum lapan resit dalam hari yang sama.

Scroll to Top