Rahsia lawan 'Pak Arab' dalam kocek Vicente

Rahsia lawan 'Pak Arab' dalam kocek Vicente

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Subang: Jika di atas kertas, boleh dikatakan agak sukar untuk skuad kendalian Pau Marti Vicente mencipta kemenangan terhadap Lubnan yang berada di ranking ke 116 dunia di pentas final Pestabola Merdeka, esok.

Namun, jurulatih yang berasal dari Sepanyol itu tetap menyimpan cita-cita besar mencipta kenangan terindah memperoleh kemenangan terhadap Lubnan sekali gus membawa pulang trofi Pestabola Merdeka.

Vicente berkata, skuad Harimau Malaya sudah lama tidak mendakap piala bersejarah itu dengan kali terakhir menjulangnya pada penganjuran 2013 menerusi skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.

Katanya, walaupun ramai menganggap Lubnan cukup sukar untuk dijinakkan namun Vicente percaya pengalaman dimiliki ketika berkelana di negara Timur Tengah cukup akan membantu memperoleh keputusan positif pada pertemuan final itu.

“Ketika ini semua pemain dan barisan kejurulatihan cukup motivasi untuk mencipta kemenangan dan sudah tentu mahu memenangi trofi itu dengan kali terakhir menjulangnya pada 11 tahun lalu.

“Secara keseluruhan, sememangnya agak mustahil untuk beraksi sempurna namun saya percaya pemain akan berikan terbaik dengan mencipta peluang pada perlawanan itu.

“Sebelum ini, saya pernah berada di Timur Tengah sekali gus pengalaman terbabit membantu untuk menewaskan Lubnan,” katanya, dakam sidang media menjelang final kejohanan Pestabola Merdeka 2024.

Sebelum itu, Malaysia menempah slot final selepas menundukkan pasukan Filipina 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.

Lubnan pula berjaya menyingkirkan juara bertahan, Tajikistan 1-0 untuk beraksi kali pertama di pentas final.

Skuad negara berpeluang menebus kehampaan final tahun lalu selepas kecewa tumbang 0-2 di tangan Tajikistan.

© New Straits Times Press (M) Bhd