sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain tenpin boling lelaki negara, Muhammad Rafiq Ismail memaklumkan kemungkinan besar dirinya akan memberi fokus kepada salah satu kejohanan sama ada Kejuaraan Dunia atau Sukan Sea Thailand 2025 untuk mengelak terlepasnya status kejuaraan itu.
Jelas Rafiq, dirinya menyedari kem negara akan berdepan dua kejohanan penting bulan November serta Disember ini dan disebabkan itu, dirinya tidak mahu memandang remeh perkara itu agar dia boleh tampil dengan prestasi yang terbaik pada hari perlawanan.
“Sejujurnya, saya ok (menyertai kedua-dua kejohanan) tapi macam mana pun bergantung kepada jurulatih dan MTBC (Kongres Tenpin Boling Malaysia) sebab saya rasa mereka lebih tahu tahap mana pemain boleh pergi dari segi mental dan fizikal.
“Takut kalau kita terlampau fokus Sukan Sea atau kita nak dua-dua dan akhirnya kedua-duanya pun tak dapat. Jadi yang itu kami masih belum fikirkan lagi tapi saya harap benda yang baik-baiklah nanti,” katanya.
Selain itu, Rafiq yang juga pemenang pingat emas dalam acara berpasukan lelaki pada Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong baru-baru ini mendedikasikan kemenangan pingat emas dan perak untuk ayahnya yang sedang sakit ketika itu.
“Ya, memang ini untuk bapa saya. Sebenarnya masa hari kedua sesi kelayakan itu, saya terima panggilan daripada emak mengatakan bahawa ayah saya, kemungkinan masa itu jantungnya boleh berhenti.
“Jadi, saya cuma boleh berdoa sahaja pada waktu itu tapi Alhamdulillah, semua stabil.
“Perkara itu ada mengganggu sedikit emosi saya tapi bagi saya benda itu bukan penghalang sebab saya jadikan itu sebagai saya punya motivasi. Cuma sayang sekali saya tak dapat berikan pingat emas (acara perseorangan lelaki, menang perak) tapi terubat pada acara berpasukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd