Rafaizul teruja mahu buktikan keupayaan bersama Speedy Tigers

Rafaizul teruja mahu buktikan keupayaan bersama Speedy Tigers
Rafaizul teruja mahu buktikan keupayaan bersama Speedy Tigers

Rafaizul antara lima pemain muda yang mendapat kepercayaan pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh.

PENJAGA gol muda berbakat dari Perak, Mohamad Rafaizul Mohamad Saini bersedia untuk membuktikan kehebatan bersama skuad hoki senior negara dalam Siri Jelajah Australia di Perth bulan depan.

Rafaizul merupakan antara lima pemain remaja yang berjaya menambat hati Sarjit Singh untuk diserap ke dalam skuad Speedy Tigers.

“Fokus saya sekarang adalah meningkatkan disiplin latihan dan menyesuaikan diri dengan pasukan.

“Saya ingin membuktikan bahawa pemain muda seperti saya juga mampu menyumbang kepada kejayaan pasukan,” kata Rafaizul yang dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik Piala Remaja Asia 2024.

Mengulas penglibatannya dalam Siri Jelajah Australia, penjaga gol berusia 22 tahun itu berkata: “Siri Jelajah Australia pasti sengit dengan kehadiran pasukan-pasukan terbaik. Saya perlu menunjukkan prestasi terbaik saya. Pengalaman bersama Young Tigers membantu saya mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya.”

Penyertaan Speedy Tigers dalam Siri Jelajah Australia dari 20 April hingga 2 Mei adalah bagi memperkemaskan strategi dan membina keserasian pemain baharu yang menyertai skuad kebangsaan.

Cabaran utama Speedy Tigers kali ini adalah membentuk kombinasi serangan terbaik tanpa kehadiran penyerang prolifik, Faizal Saari yang mengumumkan persaraan baru-baru ini.

Scroll to Top