Qawiy nafi terbabit kes gangguan seksual

Qawiy nafi terbabit kes gangguan seksual

KUALA LUMPUR – Pempengaruh Abdul Qawiy Abd Rashit atau dikenali Qawiy yang terkenal dengan video ‘tebuk’ mengaji di jalanan menafikan terbabit dalam jenayah gangguan seksual seperti tular di media sosial.

Menerusi hantaran di Instagram (IG) Story miliknya, Qawiy, 27, menegaskan, dakwaan yang tular itu adalah tidak benar sama sekali dan fitnah.

Dia yang pada mulanya enggan memberikan sebarang kenyataan terpanggil memberi penjelasan bagi mengelak timbul salah faham dan fitnah.

“Assalamualaikum semua, berkaitan isu dan kenyataan yang tular di laman sosial tentang Qawiy.

“Ya sepatutnya Qawiy tak perlu pun balas dan jawab kenyataan atau surat terbuka yang tular tetapi memandangkan ramai yang sudah tahu isu ini dan untuk mengelakkan salah faham dan fitnah, Qawiy perlu jelaskan di sini kenyataan dan cerita yang tular tentang Qawiy di laman sosial adalah tidak benar  dan fitnah.

“Semoga kita semua dirahmati Allah SWT, terima kasih,” tulisnya.

Sejak semalam, tular di platform X laporan polis seorang individu yang menyatakan Qawiy memintanya melakukan perkara tidak senonoh ketika berhubung menerusi panggilan video selain menghantar mesej berbaur lucah dan melakukan cubaan merabanya ketika mereka keluar bersama.

Bukan setakat itu, seorang pengguna platform X menerusi ciapannya turut menulis surat terbuka kepada Qawiy dengan mendakwa menerima kiriman mesej daripada pempengaruh berkenaan yang mahu memfailkan saman terhadapnya dipercayai kerana terasa dengan satu kenyataan dikeluarkannya.

Pengguna platform X itu turut mendakwa dimaki hamun oleh golongan digelarkannya pentaksub Qawiy dan menuntut pempengaruh berkenaan melakukan sumpah laknat bagi menafikan perbuatannya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top