Qabil diharap teruskan momentum selepas guna jentera terbaik

Qabil diharap teruskan momentum selepas guna jentera terbaik

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berharap anak didiknya, Qabil Irfan Azlan dapat meneruskan momentum pada Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Talent 2025.

Ia selepas pelumba muda itu memperoleh jentera terbaik apabila mendominasi kedua-dua perlumbaan Pusingan 1 di Litar Jerez, Sepanyol, minggu lalu.

Jelas Zulhfami, usahanya ‘mengetuk’ pintu pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly bagi menempatkan Qabil membuahkan hasil selepas pasukan itu dapat menyediakan jentera terpantas untuk pelumba berusia 13 tahun itu.

“VHC memberikan motosikal terbaik untuk Qabil. Kami tahu pasukan ini adalah pasukan kompetitif di dalam kategorinya.

“Pada awalnya memang saya ada berbincang dengan beberapa pasukan, tetapi VHC adalah pasukan terbaik yang kita dapat.

“Alhamdulillah sejak hari pertama kami datang ke sini (Sepanyol), semuanya berjalan lancar sehinggalah ke Perlumbaan 2.

“Jadi kami harapkan momentum ini dapat dikekalkan oleh Qabil. Selepas ini, kami sudah merancang untuk membawa Qabil ke Eropah lebih awal sebelum perlumbaan akan datang bagi menjalani sesi ujian terlebih dulu,” katanya.

Jelas Zulfahmi, sokongan padu terutama komitmen tinggi ibu bapa Qabil menyumbang kepada kejayaan pelumba cukup berbakat itu.

Selepas menjuarai Perlumbaan 1, Sabtu lalu, Qabil meneruskan tunggangan cemerlang dengan menjuarai Perlumbaan 2, kelmarin.

Seperti ketika Perlumbaan 1, pelumba negara itu sekali lagi dicabar hebat pelumba Sepanyol, Izan Rodriguez yang terpaksa berpuas hati menamatkan saingan selaku naib juara manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Andres Garcia di tempat ketiga pada Perlumbaan 2.

Qabil melintasi garisan penamat perlumbaan 14 pusingan itu sebagai juara dengan catatan masa 26 minit 08.299 saat (s), hanya dibezakan 0.403s dengan Rodriguez.

Pusingan kedua ESBK Talent akan berlangsung pada 9 hingga 11 Mei di litar yang bakal diumumkan kelak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top