hafidzul@hmetro.com.my
Subang Jaya: Lelaki putus semua jari tangan kiri selepas ditetak lima individu dalam kejadian di Bandar Sunway, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 1.54 pagi sebelum anggota peronda ke lokasi kejadian di hadapan sebuah restoran.
“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa dan beberapa rakan mahu bergerak pulang ke rumah selepas selesai makan di restoran berkenaan sebelum kereta jenis Toyota Vios berwarna putih dinaiki lima penyerang tiba di lokasi itu.
“Semua suspek yang dipercayai warga tempatan itu turun dari kereta dan menetak mangsa menggunakan parang dan pedang sebelum melarikan diri dengan kereta sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Azlan berkata, mangsa cedera di tangan, kaki dan badan serta putus jari sebelah tangan kiri dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau Inspektor Fadizah Ajamain di talian 019-8582166,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd