Puteri Sultan Brunei curi tumpuan netizen

Puteri Sultan Brunei curi tumpuan netizen

KUALA LUMPUR – Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini bukan sahaja menarik perhatian rakyat Malaysia dengan pemimpin utama kerajaan dunia seperti Raja Bahrain.

Namun kemunculan Puteri Brunei, Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah turut mengundang sensasi.

Menerusi Instagram (IG) Puteri Ameerah @ameeraahbolkiahh, satu video klip siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) memaparkan Puteri Ameerah memasuki Balairung Seri bersama keluarga diraja Brunei.

Kehadirannya menarik perhatian ramai kerana busana elegan dengan baju kurung moden dan selendang kelabu serta dilihat duduk di kalangan tetamu diraja yang lain.

Semalam, puteri bongsu Sultan Brunei turut menarik hati ramai pihak selepas penampilannya dengan berbaju kurung moden berwarna coklat apabila kerabat diraja Brunei disambut kerabat diraja Johor sebaik tiba ke tanah air.

Foto Instagram (IG) Puteri Ameerah @ameeraahbolkiahh.

Netizen turut memuji kejelitaan yang dimiliki Puteri Ameerah yang mewarisi  ibunya yang merupakan bekas pengacara dan wartawan TV3, Azrinaz Mazhar Hakim.

Dilahirkan di Bandar Seri Begawan pada 28 Januari 2008, Puteri Ameerah merupakan anak ke-12 Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama bekas isterinya, Azrinaz.

Baginda bernikah dengan Azrinaz pada 20 Ogos 2005 dan mereka dikurniakan dua orang anak, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 18 dan Puteri Ameerah, 16.

Azrinaz dan Sultan Brunei bercerai pada 2010.

Azrinaz kemudian telah berkahwin semula dengan rakan sekerja TV3 Firoz Khan Abdul Hamid pada 1 Mei 2018. – MalaysiaGazette