Pusing bulatan beratus kali, pemandu disahkan menghidap skizofrenia

Pusing bulatan beratus kali, pemandu disahkan menghidap skizofrenia

am@hmetro.com.my

Kluang: Polis mengesahkan pemandu kereta Perodua Axia berwarna putih yang berpusing-pusing di Bulatan Mahkota di sini, adalah pesakit yang menerima rawatan skizofrenia.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kereta itu dipandu seorang lelaki berusia 50-an dengan lesen memandu B2 dan D yang masih sah sehingga 2027.

Bagaimanapun, katanya, kereta itu adalah milik abang kepada pemandu berkenaan.

“Pemandu kereta pernah menerima rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada 2020 dan 2021 kerana penyakit mental.

“Terkini, dia ada menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi penyakit skizofrenia.

“Penama masih menerima rawatan di PSY Clinic dan mempunyai kad rawatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.20 malam kelmarin.

“Kenderaan terbabit berjaya dihentikan anggota polis kira-kira 10 minit kemudian. Tiada sebarang kemalangan dan kecederaan dilaporkan berlaku,” katanya.

Pada masa sama, Bahrin berkata, pihaknya sudah menasihatkan ahli keluarga supaya tidak membenarkan lelaki itu keluar rumah tanpa ahli keluarga dan dilarang memandu kenderaan.

Tular sebuah video berdurasi 57 saat memaparkan seorang pemandu Perodua Axia dikatakan memandu mengelilingi Bulatan Mahkota di sini, beratus kali bermula dari pagi hingga malam.

Menerusi video itu, jelas memaparkan kereta terbabit membuat pusing sambil menyalakan isyarat ‘double signal’ atau lampu isyarat kecemasan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top