Pusat ujian komputer di institut memandu dibenarkan – Anthony Loke

Pusat ujian komputer di institut memandu dibenarkan – Anthony Loke

HULU LANGAT – Kerajaan membenarkan Institut Memandu (IM) mengendalikan ujian undang-undang berkomputer, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, ia adalah inisiatif tambahan kementeriannya dalam mengurangkan masa menunggu bagi calon ujian memandu yang ingin menjalani ujian undang-undang.

Katanya, inisiatif itu akan membolehkan mereka mengambil ujian undang-undang berkomputer dan ujian litar di tempat sama, sekaligus memudahkan urusan masing-masing.

“Namun, institut memandu yang berhasrat untuk membuka pusat ujian bagi mengendalikan ujian undang-undang berkomputer di premis mereka adalah disyaratkan untuk menawarkan eTesting bagi ujian litar.

“Institut boleh mula membuat permohonan bagi membuka Pusat Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) di premis mereka bermula April ini dan institut yang diluluskan akan diwajibkan untuk turut menyediakan sistem eTesting dalam tempoh satu tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja memantau pelaksanaan eTesting di Institut Memandu, di sini, hari ini.

Menurut Anthony, kerajaan menetapkan harga siling pada ujian berkomputer di institut memandu pada kadar RM17 untuk motosikal dan RM27 untuk kereta. – MalaysiaGazette

Scroll to Top