Pura-pura jadi pelanggan elak ditahan

Pura-pura jadi pelanggan elak ditahan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Cubaan pekerja kedai makan di Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail berpura-pura menjadi pelanggan bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) gagal selepas ditahan semalam.

Mereka ditahan dalam serbuan Op Selera oleh JIM Kuala Lumpur bermula jam 10.40 malam hasil aduan awam.

Ketika ditahan, beberapa warga asing yang disyaki melakukan kesalahan imigresen cuba melarikan diri dan menyorok di dalam premis.

Malah, ada juga antara mereka yang bekerja di premis restoran terbabit berpura menjadi pelanggan kedai dan konon hendak membeli makanan, namun helah itu gagal apabila pasukan operasi sudah melaksanakan tinjauan awal.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi dilaksanakan ke atas lapan premis restoran.

Katanya, JIM Kuala Lumpur memeriksa seramai 68 individu termasuk lapan warga tempatan sepanjang operasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, seramai 46 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (Pati) terdiri daripada 40 lelaki dan lima wanita ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada permit sah dan langgar syarat pas.

“Tangkapan membabitkan 14 orang warga Yaman, Syria (7 orang), Pakistan (4 orang), Bangladesh (10 orang), Mesir (4 orang), Indonesia (3 orang) dan masing-masing seorang dari Myanmar, Afghanistan serta Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan ini dijalankan setiap hari termasuklah mengesan majikan yang melindungi serta menggajikan Pati.

“JIM Kuala Lumpur tidak akan berkompromi dengan warga asing yang melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen atau pas yang sah, tinggal lebih masa daripada tempoh pas atau permit yang dibenarkan serta telah melanggari syarat-syarat pas yang dikeluarkan.

“Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 28 hingga 50 tahun dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top