Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), SP Punithan mendakwa kerjasamanya dengan PAS menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) hari ini adalah lebih bermaruah.
Menurut laporan Malaysia Kini, Punithan menganggap kerjasama antara mereka lebih baik berbanding layanan UMNO terhadap sekutunya dalam Barisan Nasional (BN).
Katanya, UMNO hari ini sekadar melayan MIC yang merupakan rakan komponen BN sebagai “buruh kontrak”.
Punithan turut menyifatkan kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Puad Zarkashi yang mendakwa PAS jadi penghalang usaha PN untuk menarik parti bukan Melayu sebagai satu “pemerhatian khayalan” dan tidak mempunyai kaitan dengan realiti politik sekarang.
Kerjasama dengan PAS lebih bermaruah
“Walaupun saya hormati Puad, tetapi terkejut dengan kefahamannya yang cetek. Mungkin ini disebabkan oleh halusinasi politik UMDAP. Ironinya, mengkritik naratif PAS sambil mengabaikan kontradiksi politik UMNO sendiri.
“Gabungan, UMNO dengan MIC dan MCA selama beberapa dekad, yang pernah dianggap kukuh, kini merosot sehingga MIC digelar ‘biawak hidup’ dalam BN,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berpandangan gabungan PN bukan sekadar dibentuk mengikut emosi semata-mata, tapi hasil daripada strategi yang berpandukan prinsip dan kerjasama.
“MIPP berdiri teguh sebagai sekutu yang dihargai dalam PN, bekerjasama rapat dengan PAS dan lain-lain komponen untuk mengukuhkan perpaduan serta keterangkuman,” kata Punithan.
Punithan menyifatkan sebagai ironis apabila terdapat pihak yang mengkritik kerjasama PAS dengan MIPP, sedangkan hubungan UMNO dengan sekutu tradisional seperti MIC dan MCA kini berdepan kemerosotan.
Beliau turut mengingatkan bahawa MIC, yang sebelum ini dianggap sebagai rakan rapat BN seolah-olah diketepikan dan dilihat sebagai satu liabiliti.
Sebaliknya, UMNO lebih cenderung untuk bekerjasama dengan DAP, sebuah parti yang didakwa mempunyai sejarah meminggirkan masyarakat Melayu-Islam dan mengabaikan kepentingan komuniti India.
Artikel lain: PM Anwar pesan, jangan heret anak muda dalam politik sempit & isu perkauman
Kerjasama dengan PAS lebih bermaruah
Punithan menegaskan bahawa menerusi PN, hubungan antara MIPP, PAS dan parti-parti komponen lain dibina berasaskan prinsip ketelusan, saling menghormati, serta kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan rakyat secara pantas.
“MIPP dan PAS menangani isu-isu masyarakat India seperti pendidikan, ekuiti sosioekonomi dan hak kuil secara serius dan berkesan, bukan sekadar janji pilihan raya,” tambahnya.
Bukan itu sahaja, beliau mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai “PM MGR”, merujuk kepada populisme sinematik yang menawarkan janji-janji besar tetapi gagal menunaikannya.
Menurut Punithan, kerajaan perpaduan yang diterajui PH dan UMNO telah mengkhianati kepercayaan masyarakat India selepas berjaya meraih sokongan mereka pada pilihan raya yang lalu.
Beliau turut mendakwa DAP, yang kini menjadi tunjang utama dalam kerajaan PH, telah meninggalkan sekutu politik dari kalangan masyarakat India.
Tindakan itu jelas menunjukkan sikap hipokrit parti berkenaan terhadap perjuangan membela hak-hak kaum minoriti.
Sumber: Malaysia Kini