Pulau Pinang tingkat penguatkuasaan, elak loji janakuasa asli diceroboh

Pulau Pinang tingkat penguatkuasaan, elak loji janakuasa asli diceroboh

NIBONG TEBAL : Pulau Pinang akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti pencerobohan terhadap loji janakuasa asli yang terdapat di negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penguatkuasaan itu penting kerana aktiviti sedemikian boleh mengancam keselamatan awam seperti insiden kebakaran saluran gas yang berlaku di Putra Heights, Selangor baru-baru ini.

“Kalau masih ingat, dua tahun lepas, kita pernah menguruskan satu kes pencerobohan dan pembinaan sebuah rumah ibadat atas saluran paip Petronas di Perai (Butterworth).

“Bagaimanapun, kita mengambil penguatkuasaan yang tegas (dalam kes itu) kerana isu keselamatan ini tidak ada tolak ansur seperti dibuktikan dalam insiden di Putra Heights yang membawa impak yang begitu besar.

“Jadi, saya harap agar penguatkuasaan terhadap sebarang pencorobohan ini perlu dipertingkatkan lagi,” katanya pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (Kadun) Jawi di Kampung Bagan Buaya Changkat, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye.

Terdahulu, MBSP dikatakan akan mengadakan satu perbincangan bersama beberapa pihak berkepentingan termasuk Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam isu berkaitan paip gas tersebut.

Perbincangan itu bertujuan meneliti keperluan penyediaan satu garis panduan yang lebih jelas berkaitan pemeriksaan paip gas khususnya di kawasan Seberang Perai, di sini.-UTUSAN

 

Scroll to Top