Georgetown: Pulau Pinang selaku tuan rumah Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) Selasa ini membuat perancangan dan persiapan rapi dalam semua aspek termasuk dari segi keselamatan.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya juga meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan permukiman tersebut bermula 25 hingga 27 Feb ini di Batu Ferringhi dekat sini bagi memastikan ia berjalan lancar.
“Kami telah buat persiapan rapi dan semuanya disusun atur termasuk aspek keselamatan yang dipertingkatkan, setakat ini dari segi kelamatan di negeri ini semuanya dalam keadaan baik.
“Penugasan pegawai dan anggota polis pula kami lebih memberi perhatian dalam aspek penyuraian trafik serta faktor keselamatan supaya perjalanan Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Tanpa memperincikan bilangan anggota, Hamzah memberi jaminan bahawa kekuatan pegawai dan anggota polis Kontijen Pulau Pinang mencukupi untuk penugasan sepanjang permukiman tersebut.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang Datuk Abdul Kahar Abdullah berkata pihak kementerian yang terlibat dalam semua mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 berhubung terus dengan agensi keselamatan bagi memastikan langkah-langkah keselamatan dapat dilaksanakan.
Beliau memaklumkan langkah-langkah keselamatan merangkumi kawalan ketat di lokasi mesyuarat utama, lapangan terbang, hotel penginapan delegasi serta laluan yang digunakan oleh delegasi.
“Selain itu, di pihak kerajaan negeri, kita juga membantu mengadakan mesyuarat-mesyuarat penyelarasan antara kementerian penganjur dan agensi keselamatan di negeri ini supaya perancangan rapi dapat dibuat dan dilaksanakan.
“Sudah pasti, Polis Pulau Pinang akan memastikan penempatan anggota keselamatan yang mencukupi di semua lokasi strategik termasuk pemantauan melalui pusat kawalan bersepadu,” katanya.
Permukiman ADMM diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini. Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
© New Straits Times Press (M) Bhd