Pulau Pinang sambar tiga emas di gelanggang judo

Pulau Pinang sambar tiga emas di gelanggang judo

Sibu: Pasukan judo Pulau Pinang hari ini menyambar tiga daripada enam pingat emas yang ditawarkan di gelanggang judo pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Dewan Balau, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Mukah dekat sini.

Emas pertama Pulau Pinang disumbangkan Lim Xin Jie yang beraksi bagi kategori wanita bawah 48 kilogram (kg) selepas menewaskan wakil Kedah M Menaga Dewi dalam aksi final dengan kemenangan menerusi Ippon.

Pingat gangsa dikongsi peserta Johor Ainaa Najihah Jamal dan Ummi Rasyidah Izani dari Terengganu.

Allysa Gan pula menggandakan pingat emas kontinjen Pulau Pinang setelah menumbangkan seorang lagi wakil Kedah Nurul Aishah Abdullah dalam kategori wanita bawah 52 kg, juga menerusi Ippon.

Fatin Alia Mohd Johan dari Terengganu dan Ashrien Natasya Nadia Abdul Rahman yang mewakili Johor berkongsi pingat gangsa.

Emas ketiga skuad Pulau Mutiara hadir menerusi Amir Daniel Abdul Majeed yang mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan wakil Melaka Pang Zi Heng dalam kategori lelaki bawah 81 kg menerusi Ippon.

Pingat gangsa kategori itu dikongsi Mohammad Ahnaf Mohammad Zaid dari Wilayah Persekutuan dan Muhammad Arif Hakim Shahabuddin dari Johor.

Sementara itu, Terengganu meraih dua emas masing-masing dalam kategori wanita bawah 44 kg menerusi Nor Atikah Nabila Zakri dan wanita bawah 57 kg yang dimenangi Diana Renee Rosazizan.

Wilayah Persekutuan mengutip satu pingat emas menerusi Jairaj Singh yang menewaskan atlet Pulau Pinang Ivan Ong menerusi Ippon dalam kategori lelaki atas 90 kg.

© New Straits Times Press (M) Bhd