am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud kebenaran bahawa Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak terpinggir dari segi penerimaan peruntukan bajet daripada Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Beliau berkata, keluhan pimpinan kerajaan negeri berhubung perkara itu akan mendapat perhatian sewajarnya meskipun terdapat kekangan dalam aspek pendapatan dan perbelanjaan kerajaan.
“Bajet itu dalam pertimbangan saya, walaupun ada kekangan dari segi pendapatan dan perbelanjaan kerana memang benar Pulau Pinang dipinggirkan dari segi peruntukan dan sama juga bila saya pergi ke Sabah serta Sarawak memang ada kekurangan besar.
“Peruntukan di Pulau Pinang membabitkan infrastruktur besar manakala Sabah dan Sarawak termasuk prasarana kecil iaitu klinik, hospital, perumahan rakyat, sekolah-sekolah daif itu yang harus kita beri tumpuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program kenduri rakyat di Cherok Tok Kun di sini, malam ini.
Beliau berkata demikian menjawab persoalan sama ada Pulau Pinang akan menerima peruntukan lebih pada Bajet 2023 susulan pimpinan negeri mendakwa selalu dipinggirkan meskipun mereka antara penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Terdahulu media melaporkan Anwar berkata Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari depan tidak akan terikat dengan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu iaitu pada Oktober 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd