Pulau Pinang negeri mesra warga emas menjelang 2028

Pulau Pinang negeri mesra warga emas menjelang 2028

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri kini sedang dalam persediaan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri mesra warga emas menjelang 2028 nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, pada masa ini, kira-kira 15 peratus daripada rakyat Pulau Pinang terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Justeru, Siew Khim berkata, antara langkah yang telah diambil sebagai inisiatif ke arah persediaan itu ialah, dengan melancarkan Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia (Pulau) baru-baru ini.

“Terdapat lapan modul dalam pelan tindakan ini iaitu merangkumi ruang awam dan bangunan, pengangkutan, perumahan, penglibatan sosial dan masyarakat, saling menghormati dan keterangkuman sosial, penglibatan sivik, komunikasi dan informasi serta sokongan masyarakat dan perkhidmatan kesihatan.

“Dalam hal ini, kita mahu menjadikan Pulau Pinang dan masyarakatnya sebagai mesra warga emas dengan tidak meminggirkan mereka dalam kepesatan pembangunan negeri,” katanya.

Siew Khim ditemui pemberita ketika hadir menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan ThinkCity yang menjalin kerjasama untuk menganjurkan Bengkel Wanita Gerak@ Seberang Perai.

Sebelum ini, statistik Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran 2024 yang diterbitkan pada 30 Ogos lepas menyatakan bahawa, daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Pulau Pinang antara 11 daerah dikenal pasti sebagai daerah menua iaitu mempunyai penduduk berusia 65 tahun dan ke atas yang mencatatkan peratusan sebanyak 7.0 peratus.

Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, selain daripada langkah yang diambil oleh kerajaan ketika ini, sokongan daripada komuniti terhadap warga emas juga amat penting.

“Kita mahu komuniti menjadi lebih mengambil tahu tentang kebajikan warga emas di sekeliling mereka dan tidak hanya mengharapkan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu golongan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memulakan langkah menjadi bandar mesra warga emas dengan melaksanakan modul-modul yang terkandung dalam Pulau ketika ini.

“Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula dijangka memulakan inisiatif yang sama mulai 2025 bagi kawasan Seberang Perai dan saya yakin, Pulau Pinang secara keseluruhan akan dapat menjadi sebuah negeri mesra usia menjelang 2028 nanti,” katanya.-UTUSAN